fbpx
Ikan lumba-lumba Irrawaddy yang tinggal di lautan sekitar Sarawak dikatakan sedang terancam.

Ikan lumba-lumba Irrawaddy diancam kepupusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IKAN lumba-lumba memainkan peranan penting kepada ekosistem laut sebagai penyumbang kepada keseimbangan rantaian makanan dan berperanan untuk mengawal jumlah mangsa-mangsanya.

Namun begitu, ia juga tidak terkecuali daripada diancam kepupusan susulan aktiviti penangkapan ikan yang tidak terkawal dan juga pencemaran sampah di laut.

Hal ini turut berlaku di Malaysia susulan laporan Tabung Hidupan Liar (WWF) Malaysia tentang ikan lumba-lumba Irrawaddy yang tinggal di habitat laut Rajang, Belawai dan Paloh di Sarawak berdepan ancaman kepupusan.

Sebagai langkah untuk membendung perkara itu, satu usaha kolaboratif antara komuniti tempatan, Perbadanan Perhutanan Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak dan

WWF-Malaysia telah dilaksanakan untuk memperkasakan nelayan tempatan sebagai penjaga persekitaran akuatik mereka.

Menurut salah seorang nelayan, Sharul Azizi, inisiatif yang dilaksanakan merupakan satu lembaran baharu dalam usaha menjaga habitat ikan lumba-lumba Irrawaddy, selain meneruskan keharmonian hubungan spesies itu dengan penduduk tempatan yang sudah terjalan sekian lama.

“Ketika permintaan terhadap ikan ini semakin meningkat, nelayan mula menangkap lebih banyak ikan yang mana mengundang kepada kemerosotan habitat ditambah tangkapan tidak sengaja ikan lumba-lumba yang menimbulkan ancaman besar kepada kelangsungan hidupnya.

“Saya membesar dengan percaya bahawa ikan lumba-lumba Irrawaddy adalah kawan kita, oleh itu saya mengambil peluang ini untuk membantu pihak WWF Malaysia dan agensi terlibat untuk mengumpulkan data ikan lumba-lumba sebagai rujukan untuk membantu kelangsungan hidup haiwan tersebut,” katanya dalam satu temu bual bersama WWF Malaysia baru-baru ini.

Nelayan tempatan, Sharul bekerjasama dengan WWF Malaysia dan beberapa pihak lain menggunakan teknologi bagi memelihara kelangsungan ikan lumba-lumba Irrawaddy.

Tambahnya yang berkongsi tentang tugas yang dilaksanakan, setiap kali ke laut, dia akan membawa tablet yang dilengkapi dengan aplikasi tinjauan di samping jaring ikan lantas bersedia untuk mendokumentasikan penampakan ikan lumba-lumba Irrawaddy dan melaporkan sebarang insiden yang berlaku sepanjang pemerhatian.

Melalui program latihan kolaboratif dan inisiatif sains warganegara, Sharul dan rakan nelayannya telah menguasai kaedah saintifik pengumpulan data menggunakan

Aplikasi Survey123, menggabungkan keaedah tradisional mereka dengan teknologi moden.

Terlibat dalam fasa percubaan selama kira-kira tujuh bulan, mereka secara aktif telah memberikan maklum balas dan cadangan untuk memperhalusi pendekatan inovatif ini.

“Kami mungkin tidak mempunyai latihan pemuliharaan atau pengiktirafan saintifik, tetapi kami tahu selok-belok perairan ini.

“Dengan kerjasama ini, kami dapat melindungi ikan lumba-lumba Irrawaddy dan memastikan generasi akan datang dapat terus kagum dengan kecantikannya,” ujar Sharul.

Melalui kerjasama dan pemerkasaan komuniti, WWF Malaysia mengorak langkah untuk melindungi ikan lumba-lumba Irrawaddy di Rajang, Belawai dan Paloh buat generasi akan datang.

Menurut wakil WWF Malaysia, di peringkat komuniti tidak dinafikan penduduk masih berdepan cabaran berhubung pemuliharaan dan kemampanan ekosistem laut.

“Kerjasama ini berfungsi sebagai mercu tanda harapan dan peringatan bahawa dengan bekerjasama, masyarakat boleh membantu melindungi khazanah laut.

“Kita percaya penduduk mempunyai hubungan akrab dengan hidupan laut terutama ikan lumba-lumba Irrawaddy dan asas ini kita perkukuhkan untuk memastikan kelangsungan hidup haiwan tersebut sekali gus mendidik kesedaran bersama,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN