HATYAI, THAILAND – Kesemua lokasi menarik di Hatyai, Thailand dibanjiri rakyat Malaysia yang masuk ke negara Gajah Putih itu untuk bercuti sempena cuti sekolah dan cuti umum Hari Malaysia sejak Khamis lalu.
Mereka merupakan sebahagian besar daripada lebih 57,000 rakyat Malaysia yang melepasi sempadan Malaysia-Thailand dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan ICQS Kota Putra sehingga pukul 12 tengah malam, Sabtu lalu.
Kebanjiran pelancong dari Malaysia itu menyebabkan tempahan bilik bagi kebanyakan hotel yang popular dan terletak di lokasi strategik penuh sehingga 20 September depan.
Menurut pengusaha kedai gunting rambut, Mohammad Syahrin Smail, 33, dia bersama 11 ahli keluarga masuk ke Thailand menerusi ICQS Padang Besar, Perlis pada Khamis lalu.
“Saya sekeluarga rancang masuk awal iaitu sebelum bermula cuti sekolah bagi mengelak kesesakan. Namun begitu, rakyat Malaysia sudah mula ramai di Hatyai bermula Jumaat.
“Semua tempat seperti di Lee Garden Plaza Night Market, Asean Night Market, Greenway Night Market, Chang Puak Elephant Camp Hatyai memang nampak muka orang Malaysia sahaja, kereta dari negara kita pun banyak,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, dia membuat tempahan bilik hotel berdekatan Lee Garden Plaza kira-kira dua minggu sebelum ke Thailand.
“Waktu itu pun bilik hotel sudah hampir penuh, nasib baik saya tempah awal. Jika tidak memang susah nak dapat hotel pada harga murah dan terletak di lokasi strategik,” ujarnya sambil memberitahu harga bilik hotel ditempahnya adalah RM75 untuk satu malam.
Pekerja swasta, Laila Syahirah Sulaiman, 42, dari Teluk Intan, Perak berkata, dia dan tiga rakan ke Thailand dengan menaiki kereta api dari Stesen KTM Padang Besar pada Sabtu lalu.
“Ini kali pertama saya ke Hatyai, namun rasa tidak terlalu janggal kerana ramai orang Malaysia di sana. Saya dan kawan makan di sebuah restoran popular di Hatyai dan boleh dikatakan restoran itu penuh dengan orang Malaysia.
“Pergi mana pun mesti jumpa orang Malaysia, jadi tak lah rasa takut sangat. Hotel saya menginap penuh dan boleh dikatakan kesemuanya rakyat Malaysia,” ujarnya.
Suri rumah, Zarina Hashim, 50, dari Klang, Selangor berkata, dia pertama kali masuk ke Thailand dan sangat teruja untuk menikmati makanan popular negara itu.
“Harga tidaklah begitu murah tetapi agak berbaloi. Harga bagi hidangan set ikan siakap, tomyam campur dan beberapa masakan lain berasaskan makanan laut untuk 10 orang termasuk minuman adalah hampir RM400,” katanya.
Namun begitu, katanya, makanan yang dijual di tepi jalan atau ‘street food’ tidak kena dengan seleranya kerana gerai-gerai terletak berhampiran gerai menjual makanan tidak halal.














