Setiap anak perlu diberikan kasih sayang dan didikan yang seadilnya. - GAMBAR HIASAN

Pilih kasih rosakkan emosi anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bersifat adillah terhadap anak-anak, jangan pilih kasih. Pesanan dari ibu bapa penulis itu kekal menjadi pegangan yang tidak akan sekali-kali dilupakan.

Ia menjadi salah satu prinsip atau garis panduan bagi segala interaksi penulis dengan anak-anak, agar tiada seorang pun dari mereka berasa disisihkan.

Bagaimanapun, situasi itu didapati tidak berlaku dalam sesetengah keluarga hingga ada anak menerima layanan dingin dari ibu bapa masing-masing.

Lebih malang lagi, anak-anak ini dilayan sedemikian daripada mereka kecil sehinggalah dewasa, yang mana ada ketikanya golongan ini menjadi tempat bergantung keluarga.

Ada dalam kalangan anak yang disisihkan ini mengakui tidak merasa disayangi.

Ketua Jabatan Pengajian Am Politeknik Ungku Omar, Amir Fariz berkata, peranan ibu bapa dalam proses perkembangan fizikal, mental dan sahsiah anak-anak sangat penting.

Beliau menjelaskan, setiap anak dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan tertentu yang perlu dihargai dan disyukuri oleh ibu bapa.

“Sikap pilih kasih ibu bapa terhadap anak-anak merupakan suatu amalan negatif dan bercanggah dengan ajaran agama Islam yang mementingkan keadilan.

“Sikap ini akan memberi kesan buruk kepada anak-anak sama ada dari sudut emosi, psikologi dan pembentukan sahsiah mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Amir berkata, anak yang menjadi mangsa sikap pilih kasih ibu bapa akan berasa jauh hati dan tidak dihargai.

Justeru, katanya, keadaan itu akan merangsang kepada wujudnya gangguan emosi, kesedihan melampau dan hilang keyakinan diri dalam diri anak tersebut, bahkan, lebih berbahaya jika tekanan emosi ini membawa kepada tindakan membunuh diri.

“Kegagalan ibu bapa untuk menzahirkan kasih sayang secara adil terhadap anak-anak akan menyebabkan hubungan silaturahim dalam keluarga menjadi longgar dan akhirnya terputus.

“Ibu bapa yang sepatutnya menjadi tempat anak-anak mengadu masalah, berkongsi cerita dan meminta pendapat bakal digantikan dengan rakan-rakan anak mereka. Situasi ini amat berbahaya jika anak tersalah pilih kawan. Bukan pedoman yang diterima sebaliknya laluan sesat yang dilorongkan,” ujarnya.

Amir berkata, akibat berasa diri didiskriminasi oleh ibu bapa sendiri serta melihat adik-beradik lain bergembira dengan segala keperluan yang dipenuhi, dendam kesumat akan mula membarah.

“Dendam yang dipendam sekian lama ini pasti akan meletus secara luar biasa apabila tiba masanya nanti. Apabila hal ini berlaku sudah pasti banyak pihak yang akan menerima kesan buruknya sama ada ke atas ibu bapa, sesama adik-beradik mahupun pihak luar,” katanya.

Seperti yang dinyatakan Amir, terdapat anak-anak yang disisihkan ibu bapa mengakui kebenarannya sebagai mana yang diakui seorang daripada mereka kepada penulis.

Katanya yang mahu dikenali sebagai Junaidi, dia dari kecil menjadi sandaran keluarganya untuk banyak perkara, termasuklah hal-hal membabitkan kewangan.

“Dari kecil saya sudah bantu keluarga sehinggalah dewasa ini. Saya hanya mahu berasa dihargai ibu bapa namun ia tidak menjadi realiti kerana hakikatnya mereka lebih memberi tumpuan kepada adik-beradik yang lain. Pelbagai perasaan negatif sudah pun bermain di minda ini.

“Bagaimanapun, saya berpegang teguh kepada agama. Saya hanya boleh berdoa agar Allah bukakan hati mereka dan nampak pengorbanan yang telah saya lakukan demi keluarga ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN