fbpx
Taman permainan kanak-kanak yang terbiar dan bersemak samun di Hutan Lipur Som, Jerantut.

Bahaya menunggu di hutan lipur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Beberapa hutan lipur di negeri ini yang satu ketika dahulu menjadi lokasi riadah dan kunjungan ramai bersama keluarga kini terbiar sepi tanpa sebarang penjagaan, selain kemudahan yang ada mengalami kerosakan.

Sebelum ini, kawasan ber­kenaan yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan keindahan flora dan fauna memberikan ketena­ngan bukan sahaja bagi rakyat tempatan, malahan pelancong asing untuk bersantai dan menikmati keindahan alam.

Berdasarkan tinjauan Kosmo! di beberapa hutan lipur seperti Hutan Lipur Som di Jerantut, Taman Eko Rimba Terenggun, Lipis serta Hutan Lipur Teladas, Maran mendapati kawasan itu terus terbiar sepi tanpa sebarang usaha memajukannya semula.

Kawasan yang tidak terjaga dan dipenuhi semak samun serta menyaksikan banyak kemudahan yang rosak bagaikan menjadi ‘port hantu’ dan ‘port maksiat’ berbahaya kepada pengunjung.

Tinjauan di Hutan Lipur Som, Jerantut mendapati, laluan pintu gerbang ke Taman Herba me­lalui jambatan kayu ke kawasan hutan dipenuhi semak dan lumut seolah-olah laluan masuk ke destinasi ‘berhantu’.

Seorang penduduk Kampung Som, Fahimi Ahmad Razali, 43, berkata, dia kecewa apabila hutan lipur itu yang mempunyai pelbagai kemudahan terbiar dan musnah begitu sahaja.

“Hutan Lipur Som sebelum ini sebahagian daripada tarikan pengunjung, selain pusat pe­ranginan Taman Negara Kuala Tahan dan Gua Kota Ge­langgi.

“Tandas masih ada ditepi hutan, tetapi dibiarkan bersemak hingga sukar dilalui, kawasan kerusi dan meja dipenuhi lumut.

“Sekiranya ia dijaga, sudah tentu mampu menarik kunju­ngan pelancong dalam dan luar kerana ia terletak berhampiran bandar Jerantut,” katanya.

Dalam pada itu, di Lipis, Taman Eko Rimba Terenggun di Padang Tengku yang dahulunya cantik dan sering menerima kunjungan ramai kini ‘kosong’, terbiar sepi, selain tasik dan trek joging tidak diselenggara dengan baik.

Seorang penduduk, Norahisah Abdul Haddi, 38, berkata, dia ke­sal dengan keadaan itu dan meminta pihak berkuasa mengembalikan kegemilangan kawasan tersebut yang pernah menjadi buah mulut orang ramai kerana kecantikan dan ketenangannya.

“Saya risau jika ia terus dibiarkan akan mengundang mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan kegiatan tidak bermoral dan menjadi port menagih dadah,” ujarnya.

Di Maran, Hutan Lipur Teladas yang mempunyai air terjun dan pelbagai kemudahan menjadi lokasi riadah orang ramai, malah pernah dijadikan lokasi pesta air, namun kini dibiarkan sepi tanpa pembelaaan.

Ia yang masih dikunjungi pe­ngunjung agak suram apabila banyak kemudahan disediakan rosak, antaranya gazebo yang menanti masa runtuh, malah ada yang telah ‘menyembah bumi’.

Bukan sahaja banyak gazebo yang rosak, tetapi jambatan gantung utama juga mula mereput dan ada kayu tertanggal hingga membahayakan pengunjung.

Seorang pengunjung, ­Mohamad Faris Fauzi,21, berkata, dia yang datang bersama empat rakan untuk mandi kecewa apabila kawasan itu tidak seindah dahulu apabila ia tidak terjaga.

Katanya, dia yang berjalan kaki ke kawasan air terjun juga bimbang keselamatannya apabila melihat keadaan laluan yang bersemak yang memungkinkan kehadiran haiwan berbisa atau binatang liar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN