PETALING JAYA – Seorang pelajar lelaki cemerlang di sekolah menengah ketagih hubungan sejenis atau homoseksual sehingga sanggup melayari aplikasi gay, gara-gara remaja itu terjebak menonton pornografi.
Luahan sedih ibu itu dikongsikan oleh pakar motivasi, Akhi Fairuz Al-Jengkawi berhubung masalah ketagihan remaja tersebut selepas wanita itu mengadu berhubung penyelesaian terhadap anaknya.
“Anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang akhirnya ketagih dengan hubungan sejenis. Budak pandai, belajar ‘tip top’. Tapi entah apa yang berlaku, anaknya mula terjebak dengan homoseksual di sekolah asrama.
“Awalnya sekadar bergurau dengan kawan, sentuh ‘private part’ (bahagian sulit) satu sama lain. Bila dah jadi kebiasaan, lama-lama dia onanikan kemaluan kawan. Sampailah dia jadi seronok, nauzubillah,” katanya pada hantaran Facebook.
Akhi Fairuz berkata, pihak sekolah mengetahui perbuatan jijik dilakukan oleh anaknya dan mereka memberi dua pilihan sama ada pelajar itu digantung sekolah atau pindah ke tempat lain.
“Si ibu keluarkan anak dan pindah ke sekolah harian. Saya pernah bertemu budak ni beberapa tahun lepas. Masa tu dia baru berusia 15 tahun. Katanya punca dia jadi begini bila mula ketagih pornografi sejak berusia berusia 13 tahun.
“Bila dah ketagih, dia selalu terbayang. Bila dah terbayang, mula rasa nak pegang alat sulit kawan-kawan. Yang kawannya pula langsung tak mengelak, melayan je, habis rosak.
“Kini si ibu terjumpa pula perbualan lucah si anak bersama seorang lelaki dewasa yang ditemuinya di dalam aplikasi gay. Penuh dengan ayat-ayat mesra, luah yang dirinya ‘sangap’, sanggup bayar servis untuk puaskan nafsu dan siap rancang bila nak bertemu,” ujarnya.
Katanya, wanita itu turut memaklumkan masalah itu kepada bekas suami, namun si bapa mencadangkan remaja itu berhenti sekolah serta dimasukkan ke pusat tahfiz.
“Bila saya dapat tahu, terus saya larang. Saya kata, jangan sekali-kali bawa masalah anak ke tahfiz. Anak memang boleh hafal al-Quran, tapi ketagihan kepada jantina sejenis? Silap hari bulan, habis budak-budak kat tahfiz kena ‘sexual grooming’ dengan anaknya.
“Ada mak ayah fikir kalau anak jahat, nakal, terlibat dengan masalah sosial, suka sama jantina, maka tahfiz atau sekolah agamalah yang mampu ubah anak mereka. Walhal, tahfiz ni bukan pusat pemulihan akhlak atau pusat hentikan ketagihan sejenis,” katanya.
Justeru, beliau turut mencadangkan kepada wanita itu supaya membawa anaknya bertemu kaunselor, ahli terapi atau pakar psikiatri untuk rawatan. – KOSMO! ONLINE