fbpx
MALAYSIA Aviation Group (MAG) berjaya mencatat untung bersih buat pertama kali sejak 2010 sebanyak RM766 juta pada tahun kewangan 2023. - GAMBAR HIASAN

Kalau asyik rosak, orang takut naik MAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAYANGKAN, apakah perasaan anda jika pesawat yang anda naiki mengalami kerosakan ketika sedang dalam penerbangan di awan biru?

Takut, jantung berdebar dan pastinya kita akan berdoa supaya cepat-cepatlah pesawat itu mendarat.

Apabila juruterbang dapat mengawal keadaan dan mendaratkan pesawat dengan selamat, barulah lega rasa di hati. Bagaimanapun, pengalaman menghadapi suasana cemas ini tentunya akan sentiasa menghantui para penumpang terbabit.

Lebih teruk jika syarikat penerbangan yang sama menghadapi masalah teknikal secara berulang kerana ia turut boleh memberi ‘ketakutan’ kepada penumpang lain untuk menggunakan perkhidmatan mereka.

Agak mengecewakan masalah ini sebenarnya berlaku membabitkan Malaysia Airlines (MAS) iaitu syarikat penerbangan yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara. Bermula 20 Jun hingga 2 September lalu, sebanyak tujuh insiden membabitkan pesawat MAS sehingga terpaksa berpatah balik atau dilencongkan kerana menghadapi pelbagai masalah ketika sedang dalam penerbangan.

Tidak dapat dipastikan kenapa, pesawat-pesawat itu dikatakan mengalami kegagalan enjin, masalah tekanan dalam kabin atau sistem hidraulik sehingga memaksa ia berpatah balik atau dilencongkan.

Ironinya, MAS sepertinya kelihatan baru saja mahu melupakan dua tragedi hitam membabitkan dua pesawat Boeing 777-200 miliknya iaitu MH370 yang kehilangannya masih menjadi misteri sehingga kini dan MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine.

Walaupun kedua-dua tragedi itu bukanlah kerana masalah kegagalan enjin atau masalah teknikal pada pesawat, namun ia memberi impak buruk kepada perkhidmatan MAS secara keseluruhannya. Reputasi MAS merudum teruk selepas itu. Banyak destinasi penerbangan terutamanya ke Eropah kecuali London dihentikan.

Setelah beberapa tahun, MAS kembali meraih keyakinan penumpang. Jumlah penumpang yang terbang bersama MAS semakin meningkat sehingga Malaysia Aviation Group (MAG) berjaya mencatat untung bersih buat pertama kali sejak 2010 sebanyak RM766 juta pada tahun kewangan 2023.

Namun kita berharap, janganlah pula insiden-insiden yang berlaku sejak akhir-akhir ini akan menjadi penyebab terhakisnya keyakinan orang ramai untuk terbang dengan MAS.

Bukan apa, kalau asyik berlaku masalah, lama-lama orang akan takut untuk terbang. Malah, langkah ‘terpaksa’ MAG mengurangkan rangkaian penerbangan sehingga Disember ini ekoran insiden yang berlaku turut menimbulkan rasa kurang senang penumpang terutamanya yang telah merancang lama perjalanan dan percutian mereka.

Kita menaruh keyakinan kepada Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail dan seluruh pasukan besarnya untuk memperbetulkan segala ‘gangguan’ ini kerana kita mahu melihat MAS kembali menjadi gergasi di rantau ini.

Kembalinya MAS ke Paris mulai Mac 2025 diharap akan membuka laluan kepada lebih banyak destinasi baharu syarikat penerbangan itu bukan sahaja ke rantau Eropah, malah ke Afrika atau Amerika Utara. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN