BENTONG – Meskipun telah ditemukan semalam, namun kehilangan seorang kanak-kanak berusia lima tahun sejak petang kelmarin masih menimbulkan pelbagai tanda tanya dan misteri kepada ahli keluarga.
Ini kerana Muhammad Alfian Razin Muhammad Zaki ditemukan sihat dan cergas, tanpa kesan gigitan nyamuk atau luka dan calar pada kaki meskipun semalaman berada di dalam ladang sawit dengan berkaki ayam.
Malah pencarian yang dilakukan kelmarin termasuk penggunaan anjing pengesan gagal menemukan Muhammad Alfian sebelum dijumpai satu kilometer dari lokasi kehilangannya.
Bapanya, Muhammad Zaki Mustafa, 43, berkata, dia bersyukur kerana anak bongsu daripada dua beradik yang menghidap autisme dan tidak dapat bercakap itu selamat ditemukan.
“Semalaman saya dan isteri tidak dapat tidur memikirkan keadaannya kerana di dalam ladang sana sangat sejuk.
“Saya sendiri masih tertanya-tanya ke mana dia menghilang dan sepanjang malam apa dilakukan kerana dia tidak dapat memberitahu, apa yang dapat saya kata ialah Allah jaga dia,” katanya di rumahnya di Felda Lurah Bilut di sini semalam.
Muhammad Zaki berkata, dia dan anak lelakinya itu sememangnya kerap ke kawasan ladang berkenaan yang ditanam dengan pokok limau dan sebagainya.
Katanya, dia yang ke kawasan itu pada pukul 6 petang kelmarin untuk memetik limau kasturi juga sentiasa memastikan anaknya itu tidak ‘hilang’ apabila akan memanggil mangsa setiap lima minit sekali.
“Kawasan ladang itu memang saya bersihkan kerana anak saya biasa berkaki ayam di situ, saya sentiasa memanggil namanya dan saya terkejut apabila dia tiba-tiba tidak menyahut panggilan saya,” ujarnya.
Ibunya, Haryati Kasim, 42, pula berkata, sepanjang malam dia sentiasa mendoakan anaknya tersebut ditemukan dan naluri ibu yakin anaknya itu berada dalam keadaan selamat.
Katanya, dia berterima kasih kepada semua pihak termasuk pihak berkuasa dan penduduk kampung yang membantu dalam usaha pencarian.














