SEKTOR pertanian kini kian berkembang dengan pengaruh kecerdasan buatan (AI) yang memungkinkan pengurusan serta pengeluaran hasil menjadi lebih efektif sekali gus meningkatkan kelestarian amalan pertanian dan pengeluaran makanan di Malaysia.
Pencapaian ini adalah hasil daripada kemajuan teknologi maklumat dan peningkatan kualiti rangkaian 5G yang berupaya mentransformasikan industri pertanian serta menggabungkan teknologi maju untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan ladang.
Hal ini juga dizahirkan dalam kolaborasi antara penyedia penanaman teknologi urban dalam bangunan, BoomGrow Productions Sdn. Bhd. (BoomGrow) dan syarikat telekomunikasi CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menerusi ketersambungan 5G disokong ZTE untuk Ladang Mesin BoomGrow.
BoomGrow mengusahakan ladang sayuran berasaskan sistem moden seperti hidroponik berkelas tinggi dan membuat pengeluaran untuk pelanggan.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BoomGrow, Murali Krishnamurthy, penyepaduan teknologi 5G ke dalam operasi ladangnya membolehkan pihaknya meneroka tahap kecekapan dan kemampanan baharu seterusnya memacu masa hadapan bidang pertanian.
“Perkongsian dengan CelcomDigi merupakan pencapaian penting bagi BoomGrow dalam langkah kami menerajui kaedah di dalam industri menerusi penyepaduan ketersambungan 5G, AI dan Realiti Lanjutan (XR) dengan kejituan teknologi pertanian.
“Dengan ketersambungan dipertingkat ini, para pelanggan kami akan meraih manfaat daripada kawalan dan unjuran lebih baik dan memastikan keluaran tanaman konsisten berkualiti tinggi dengan hasil yang boleh diharapkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Perkongsian Strategik BoomGrow dan CelcomDigi di Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Turut hadir Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi, T. Kugan.
Tambahnya, penyepaduan teknologi 5G, AI dan XR membolehkan pemantauan masa sebenar, kawalan tepat persekitaran ladang dan analitik unjuran sekali gus mendorong kepada peningkatan hasil pertanian dan kecekapan keseluruhan sumber.
Kongsinya, data dari semua Mesin Ladang BoomGrow di seluruh negara iaitu di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur akan disatukan ke dalam papan pemuka terpusat membolehkan penelitian dan pengurusan yang lancar.

Perkongsian ini dilaksanakan pada tiga bidang utama inovasi di dalam teknologi pertanian iaitu pertanian jitu diperkasa 5G, mesin Ladang AI dan analitik data serta latihan ahli agronomi menerusi XR.
“Mesin Ladang BoomGrow kini dijana oleh ketersambungan 5G CelcomDigi. Menerusinya, disambungkan kepada sistem pengawasan serta pengimbas bersepadu yang luas dan kini boleh menyediakan maklum balas data waktu sebenar, kawalan jitu terhadap persekitaran pertanian tertutup serta memastikan keadaan optimum bagi pertumbuhan tanaman.
“Dengan ‘Mesin Ladang berganda’ yang memberikan maklum balas set data kompleks dan visual tanaman, analitik maju dikuasakan AI kini boleh memberikan analisis mendalam data set kompleks yang diterima dari semua mesin ladang,” ujarnya.
Tambahnya, jika terdapat isyarat dari satu ladang, pasukan boleh memperoleh maklumat terperinci menerusi analitik untuk mengetahui punca asal suatu isu dan menanganinya dengan segera. Ini akan mempertingkat proses membuat keputusan dan menambah baik keseluruhan pengeluaran.
Jelasnya, menerusi teknologi XR dikuasa XR Associate, ahli agronomi boleh menyertai program latihan imersif secara jarak jauh.
Hal ini membolehkan mereka memperoleh pengalaman sebenar dan kepakaran dalam menguruskan sistem pertanian moden dari lokasi-lokasi berbeza. Ia pada masa sama membantu BoomGrow untuk melatih ahli agronomi baharu seiring dengan rancangan untuk meluaskan lagi penggunaan mesin ladang di masa hadapan.
Sementara itu, T. Kugan turut berkongsi kegembiraan kerana BoomGrow menjadi rakan kongsi pihaknya dalam mengimaginasikan semula pertanian dalam era segalanya digital masa kini.
“Kami membolehkan inovasi teknologi pertanian BoomGrow dengan perkhidmatan 5G CelcomDigi serta menetapkan piawaian baharu bagi amalan pertanian yang efisien dan mampan.
“Kolaborasi ini menggariskan komitmen kami untuk memajukan 5G di Malaysia dan ekosistem inovasi digital menerusi perkongsian dengan pemain teknologi tempatan dan global,” kongsinya.
Katanya, pihaknya terus menumpu kepada usaha memperkasa industri dalam era digital ini bagi mempercepat transformasi negara menjadi masyarakat digital dikuasakan 5G-AI.














