fbpx
Mangsa diseksa dan dikurung sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Tebus anak RM100,000 lepas diseksa samseng Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ahli keluarga mangsa culik sanggup membayar sehingga RM250,000 bagi membebaskan anak mereka yang diculik dan diseksa ketika dikurung oleh sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Terbaharu, seorang bapa diminta membayar RM100,000 oleh sindiket berkenaan sekiranya mahu anak lelaki mereka dibebaskan dan tidak lagi dipukul selepas tertipu dengan tawaran kerja menghantar herba ke Thailand menerusi Facebook.

Difahamkan, mangsa ditawarkan upah RM9,500 untuk satu perjalanan dari Thailand ke Malaysia sekiranya membawa kereta sendiri dan RM7,000 jika tidak membawa kenderaan sendiri.

Tertarik dengan tawaran itu, mangsa telah pergi bersendirian ke Bangkok pada 26 Ogos lalu sebelum diculik dan dibawa ke ­Myanmar.

Mangsa merupakan satu-satunya tebusan yang diculik sindiket itu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bagai­ma­na­pun berkata, keluarga ­mangsa hanya membayar separuh daripada jumlah tebusan selepas mengadakan rundingan dengan sindiket baru-baru ini.

Katanya, bapa mangsa memasukkan duit itu tanpa berun­ding dengan pihaknya selepas tidak tahan melihat anaknya dipukul oleh samseng sindiket pemerdagangan manusia itu.

“Bagi meyakinkan keluarga, sindiket menghantar gambar mangsa yang dipukul dan dikurung dengan kesan lebam dalam keadaan ketakutan hingga mencemaskan mereka.

“Keluarga mangsa kemudian meminta bantuan daripada wakil kami dan sepatutnya sidang akhbar diadakan hari ini (semalam) tetapi terpaksa dibatalkan kerana wang tebusan telah dibayar,” katanya kepada Kosmo!.

Gambar fail menunjukkan Hishamuddin (dua dari kiri) mendengar kisah salah seorang mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang diselamatkan selepas diculik dan dibawa ke Myanmar baru-baru ini.

Menurut Hishamuddin, sin­diket berjanji akan membebaskan mangsa selepas me­nerima tebusan tetapi pihaknya tidak menyokong mana-mana mangsa untuk membayar wang kepada penjenayah.

Tambahnya, itulah sebab MHO ditubuhkan untuk membantu mangsa yang diperangkap oleh sindiket luar negara.

“Kita tidak mahu tindakan membayar wang tebusan itu akan menggalakkan lagi aktiviti sindiket ini dan semakin berle­luasa,” katanya.

Ujar Hishamuddin, walaupun wang tebusan telah dibayar, ia tidak memberi jaminan bahawa mangsa akan pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga kerana ada kes mangsa dihantar pula ke negara lain untuk dianiaya.

“Pada 2021 hingga 2024, kami telah berjaya membawa pulang seramai 300 mangsa tanpa sebarang bayaran wang tebusan,” ujarnya.

Jelasnya, wang tebusan yang paling tinggi pernah dibayar oleh mangsa-mangsa kes culik dan pemerasan kira-kira RM250,000 seorang.

“Jika wang sudah dibayar, kami tidak akan lagi campur ­tangan kes itu kerana MHO berperanan membantu mangsa yang diculik sindiket pemerdagangan orang tanpa perlu membuat bayaran tebusan,” tegasnya.

Berita berkaitan: Dipukul sehingga nyawa-nyawa ikan sebelum organ dijual

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN