LIPIS – Biarpun berusia lebih 100 tahun, namun sebatang pokok durian naga umbang dari variasi durian tembaga Pahang milik seorang anak muda dari Kampung Kuala Serau, Mukim Jelai di sini, mampu berbuah lebat sehingga 200 biji semusim.
Lebih menarik, durian itu dijual pada harga RM8 sekilogram sahaja walaupun rasanya setanding durian premium lain.
Muhammad Rahimi Zainal Abidin, 26, berkata, pokok yang ditanam arwah moyangnya itu memiliki buah berwarna kuning keemasan dengan rasa yang cukup enak termasuk manis,
berlemak, pahit dan beraroma.
Katanya, buat masa ini, dia mempunyai empat batang pokok durian naga umbang yang ditanam di atas tanah kebun milik keluarganya seluas lebih satu hektar dan selebihnya adalah klon durian kampung.

“Jika diikutkan, saya hanya ada sebatang pokok asal, namun sejak 10 tahun lalu saya bersama ayah giat menyemai semula biji benih dan kini ada tiga pokok telah membuahkan hasil.
“Saya bercadang mengambil mata tunas pada pokok asal dan buat teknik cantuman dewasa. Ini sebagai usaha untuk memperbanyakkan lagi klon serta mengkomersialkan naga umbang ke pasaran luar,” katanya di Kampung Kuala Serau, Mukim Jelai dekat sini, baru-baru ini.
Muhammad Rahimi berkata, menerusi ciri-ciri lengkap yang dimiliki naga umbang telah berjaya menobatkan durian miliknya sebagai Naib Johan Pertandingan Durian
Kampung Premium sempena Hari Durian Daerah Lipis baru-baru ini.
Tambahnya, menerusi kemenangan itu, dia mendapat banyak permintaan daripada pelanggan luar dari daerah Lipis dan Raub untuk merasai keenakan durian naga umbang.
“Fokus saya adalah untuk komersialkan durian kampung berbanding dengan durian premium yang lain kerana ia lebih mudah dijaga.
“Berbanding musang king dan D24 yang memerlukan penjagaan rapi serta kos tinggi untuk membeli racun, durian kampung hanya perlu tanam, tinggal dan tuai.
“Pokok durian ini hanya sesekali perlu ditabur garam dan baja,” ujarnya yang juga staf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.
















