YAN – Penduduk yang mendiami kawasan di sepanjang kaki Gunung Jerai di sini kini boleh menarik nafas lega dan tidak perlu lagi bimbang dengan sebarang ancaman bencana seperti banjir lumpur dan kepala air.
Khabar gembira itu hadir selepas pembinaan Empangan Sabo di Titi Hayun yang siap pada Julai lalu diakui telah berfungsi dengan baik terutama ketika musim hujan di daerah Yan.
Malah, penduduk mendakwa tiada lagi ranting atau batang kayu yang dibawa arus kerana semuanya tersekat di empangan itu.
Seorang penduduk Sabariah Saad, 55, berkata, sebelum ini kedudukan rumahnya yang terletak di tepi Sungai Setol sering dilanda kejadian kepala air.
“Sekarang ini saya boleh tidur lena kerana empangan itu berupaya menghalang banjir puing dan arus deras biarpun hujan lebat di Gunung Jerai.
“Penduduk yang tinggal di hilir sungai tidak lagi bimbang selepas melihat aliran air berjaya dikawal selain kandungan airnya tidak berlumpur,” katanya.
Penduduk Kampung Telok Mat Acheh, Norasma Mat Ali, 57, berkata, walaupun masih trauma dengan kejadian kepala air sebelum ini, dia tetap yakin keselamatan keluarganya semakin terjamin.
“Hujan lebat yang menyebabkan arus deras beberapa hari lalu tidak lagi menggusarkan kami berikutan empangan itu berjaya mengawal aliran air.
“Kami harap keadaan ini berterusan dan empangan ini mampu menjadi penghalang arus deras,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! Ahad bersama Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Lt.(PA) Zul Izzi Zulkifli di sekitar Empangan Sabo kelmarin mendapati aliran air bergerak dengan lancar walaupun paras air agak tinggi berikutan hujan.
Menurut Zul Izzi, pihaknya bagaimanapun sentiasa mengingatkan penduduk agar mengambil langkah berjaga-jaga jika hujan lebat dalam tempoh yang lama.
“Walaupun kita mempunyai empangan ini selain sistem amaran awal untuk memaklumkan paras air tetapi kejadian luar jangka, penduduk juga perlu sentiasa peka terutama yang tinggal berdekatan sungai,” katanya.
Dalam kejadian kepala air Gunung Jerai dan banjir kilat pada 18 Ogos tahun lalu, ratusan rumah penduduk rosak selain enam nyawa penduduk menjadi korban.















