fbpx
Mangsa kerugian RM250,000 selepas diperdaya membeli GT-R yang dilaporkan sebagai kereta curi.

GT-R RM250,000 dibeli rupanya kereta curi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kegembiraan seorang lelaki selepas memiliki kenderaan idaman berupa Nissan GT-R R35 CBA 2008 tidak kekal lama apabila kereta mewah itu disahkan sebagai kereta curi.

Mangsa dikenali sebagai Mohd. Zackri mendakwa, kereta mewah itu dibelinya pada harga RM250,000 dari sebuah syarikat menjual kenderaan terpakai yang menjanjikan kaedah menerusi skim sambung bayar.

Katanya, syarikat yang menawarkan harga jualan lebih murah itu turut dipercayai memperdaya lebih 30 pelanggan sehingga kerugian ratusan ribu ringgit.

“Asalnya kereta yang saya beli ini saya tak guna sistem sambung bayar. Saya telah lunaskan ke­seluruhan bayaran RM250,000 dan telah tukar hak milik kepada nama saya. Geran pemilikan kenderaan juga telah diberikan.

“Saya beli Nissan GT-R R35 CBA 2008 ini daripada pengedar kereta terpakai terbabit pada April lalu selepas me­nemui iklan di Facebook” katanya.

Bercerita lanjut, Mohd. Zackri berkata, dia hanya menyedari telah ditipu apabila gagal untuk memperbaharui semula cukai jalan dan insurans.

“Saya pergi ke ejen insurans untuk mendapatkan insurans dan cukai jalan. Dia kemudiannya mendedahkan bahawa ken­deraan itu ditandai di bawah NCD 095 menunjukkan kereta itu telah dilaporkan dicuri dan tuntutan insurans telah dibuat oleh pemilik terdahulu,” katanya.

Tambah Mohd. Zackri, dia segera berhubung semula de­ngan pihak syarikat dan wakil mereka memberi jaminan kepadanya bahawa isu tersebut boleh diselesaikan, namun sehingga hari ini tiada khabar.

“Mereka sekat nombor te­lefon saya di WhatsApp. Saya gagal hubungi mana-mana wakil syarikat. Laporan polis juga telah dibuat dan saya menuntut bayaran penuh semula,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa dikenali Azie berkata, kenderaan mewah jenis Mercedes-Benz C-Class C180 yang dibelinya menerusi perjanjian sambung bayar pada November lalu hanya mampu bertahan selama lima bulan sebelum dijual semula disebabkan syarikat gagal menyediakan resit pembayaran.

“Kereta itu saya beli pada harga RM60,000, dan saya perlu bayar deposit 50 peratus iaitu RM30,000, manakala setiap bulan kena bayar RM1,200 selama lebih kurang tiga tahun.

“Saya membuat pembayaran kepada akaun syarikat, bukan potongan kepada bank sebab pihak syarikat memaklumkan pihak mereka yang akan berurusan dengan bank.

“Jadi bila saya minta resit pembayaran sebagai tanda saya sudah bayar untuk lima bulan (RM6,000), wakil syarikat bagi pelbagai alasan dan sampai sudah saya tidak diberikan resit,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Kata Azie, dia kemudian cuba menyelidik latar belakang syarikat dan mendapati ramai menjadi mangsa skim sambung bayar yang ditawarkan.

“Saya terus jual semula kereta itu. Tapi terkejutnya apabila mereka hanya bayar pada saya 20 peratus daripada harga deposit saya,” katanya.

Dalam pada itu, Azie turut berkongsi beberapa cerita yang diperoleh daripada mangsa lain serta kenalannya melibatkan kes penipuan oleh syarikat terbabit.

“Ada yang dah beli kereta, lepas tiga bulan tiba-tiba dapat notis penarikan sebab tunggakan bayaran kereta. Sedangkan mereka bayar macam biasa kepada syarikat. Rupanya syarikat dah songlap duit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN