ENSTONE – Pemandu simpanan Alpine, Jack Doohan dilapor akan menggantikan Esteban Ocon dalam barisan pemandu Formula Satu (F1) 2025 dan akan bergandingan dengan Pierre Gasly selepas pasukan itu mengharapkan aksi yang lebih cemerlang.
Doohan berusia 21 tahun merupakan pemandu muda Australia yang mencuri tumpuan selepas Daniel Ricciardo dan Oscar Piastri selain telah bersama Alpine selama dua tahun sebagai sebahagian daripada program pemandu muda mereka
Alpine kini sedang melalui fasa peralihan yang besar, termasuk pelantikan Oliver Oakes sebagai ketua pasukan baharu serta kembalinya Flavio Briatore ke arena F1 sebagai penasihat khas.
“Saya sangat gembira untuk mendapat kenaikan pangkat ke perlumbaan penuh pada tahun 2025 bersama Alpine F1. Saya sangat berterima kasih atas kepercayaan dan keyakinan daripada pengurusan tertinggi pasukan.
“Ada banyak kerja yang perlu dilakukan untuk benar-benar bersedia dan saya akan memberikan yang terbaik untuk mendapat sebanyak mungkin maklumat dan pengetahuan agar menjadi lebih kompetitif.
“Sangat teruja untuk menjadi graduan pertama dari Akademi Alpine yang menduduki kerusi perlumbaan dengan pasukan ini dan saya amat berterima kasih kepada mereka yang menyokong saya sepanjang perjalanan untuk menjadikan ini satu kenyataan,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan baharu, Oliver Oakes, turut memuji Doohan yang merupakan anak kepada legenda MotoGP, Mick Doohan selepas dia dianggap berjaya lulus daripada akademi pasukan itu serta layak untuk beraksi dalam perlumbaan utama.
“Secara peribadi, saya telah bekerja dengan Jack pada tahun 2019 dan saya sepenuhnya menyedari bakat dan potensinya. Beliau bekerja keras di belakang tabir dan komitmennya sangat dihargai oleh seluruh pasukan,” tambahnya. – AGENSI