Sebilangan ibu bapa tiada kemahiran mendidik anak terutamanya mereka yang sindrom Down atau autistik. - GAMBAR HIASAN

Lama tak ke sekolah, rupanya dia didera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Setiap daripada kita sudah tentu merindui zaman persekolahan. Di sekolah kita belajar banyak perkara dan berjumpa pelbagai ragam kawan serta guru. Ceria.

Ada kawan baik, biasa-biasa dan rapat. Pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan sukan biasanya terkenal dan keberadaannya di sekolah sentiasa menjadi perhatian.

Penulis sendiri melalui pengalaman pernah menjadi pelajar harapan untuk mewakili sekolah agama dalam pertandingan. Sampai satu ketika, timbul perasaan bosan mengapa tiada pelajar lain yang dipilih sebab kita sudah penat jadi wakil sekolah.

Akibatnya, penulis mengambil keputusan untuk tidak pergi ke satu pertandingan penting antara sekolah. Namun tanpa disangka, ustazah yang menguruskan pemilihan pelajar datang dengan memandu van usang miliknya ke rumah bagi memaksa penulis pergi.

Namun, perkara yang dibuat secara paksaan dan tidak ikhlas sudah tentu memberikan keputusan yang hambar. Penulis kalah dalam pertandingan itu. Puas rasanya kerana sudah tentu tidak lagi menjadi wakil sekolah.

Itu antara secebis kenangan. Kalau dapat diputarkan waktu, ingin semula kita membetulkan keadaan dan benar kata pepatah menyesal kemudian tiada gunanya.

Isnin hingga Jumaat merupakan hari yang seronok kerana dapat hadir ke sekolah. Walaupun penat kita teruja untuk menimba ilmu baharu. Kelas, guru, kawan, padang, sukan membuatkan kita seronok.

Apa yang membuatkan lebih teruja apabila ada orang yang kita berkenan dan menjadi secret admire dalam diam. Tanpa disedari, berangan sudah menjadi sebahagian daripada subjek harian.

Begitulah zaman sekolah. Ia terlalu manis untuk dikenang. Sepatutnya setiap daripada anak Malaysia dapat menikmati zaman itu.

Bagaimanapun, Sabtu lalu kita sakit hati dan marah dengan satu kejadian di mana seorang budak perempuan berusia lapan tahun mati akibat didera.

Mangsa mungkin sudah lama didera kerana siasatan polis mendapati dia tidak hadir ke sekolah sejak 24 Jun lalu.

Kawan penulis yang merupakan seorang guru kaunseling memberitahu, seandainya dapat mencari dan pergi ke rumah mangsa lebih awal mungkin dapat menyelamatkan nyawanya.

Namun, itu semua ‘kalau’. Mungkin pihak berkaitan juga berdepan dengan pelbagai halangan yang kepayahan yang kita tidak tahu. Tak mungkin mereka tidak berusaha mencarinya dan bertanya mengapa anak itu ponteng sekolah tanpa alasan munasabah.

Segalanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Budak yang sepatutnya menikmati zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa kini sudah tiada. Ibu bapanya pula direman bagi membantu siasatan.

Mudahnya mengambil nyawa darah daging sendiri.

Wahai ibu, wahai ayah, di manakah sifat kasih dan penyayang kamu sehingga tergamak memperlakukan sebegini? Bagaimanakah kamu berdepan dengan beban dosa sehingga tiba hari kamu menutup mata nanti? Layakkah kamu digelar ayah dan ibu?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN