fbpx
Gambar hiasan

‘Membedah’ faktor kenaikan insurans perubatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENYEDARI akan kepentingan insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT), seorang pemuda yang ingin dikenali sebagai Fahmi memilih mengambil pelan perlindungan tersebut.

Menurutnya, dia mengambil insurans perubatan kerana kebaikan pelan perlindungan tersebut yang membantu para pelanggan mendapatkan rawatan di hospital swasta apabila perlu.

“Kira-kira 10 tahun lalu, saya melihat ada rakan saya tidak perlu membayar bil rawatan apabila mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana dilindungi takaful perubatan.

“Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan untuk mendapatkan takaful perubatan dengan bayaran bulanan sebanyak RM200,” katanya kepada K2.

Namun kini, Fahmi harus membayar lebih apabila kadar premium atau sumbangan untuk MHIT telah dinaikkan.

Jumlah kenaikan premium atau sumbangan untuk takaful perubatan yang diambil olehnya telah meningkat sebanyak RM160 dan kini dia harus membayar RM360 sebulan.

“Begitu juga untuk takaful perubatan anak saya yang diambil sejak empat tahun lalu, di mana turut berlaku kenaikan sebanyak RM100. Kini, saya perlu membayar sebanyak RM310 setiap bulan.

“Kenaikan premium takaful perubatan ini agak membebankan kerana saya juga mempunyai komitmen lain yang perlu dijelaskan setiap bulan,” jelasnya yang kini berusia pertengahan 30-an.

PENINGKATAN premium insurans dan takaful kesihatan menyebabkan orang ramai memilih mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. – Gambar hiasan

Namun begitu, Fahmi sedar akan pentingnya takaful perubatan untuk melindungi dirinya di saat memerlukan.

Disebabkan itu, Fahmi terpaksa mengurangkan kadar bayaran dengan menamatkan pelan takaful kesihatan diambilnya sebelum ini dan perlu mengambil pelan perlindungan baharu dengan kadar bayaran yang mampu dibayarnya.

Tidak dapat dinafikan, ramai pemegang polisi MHIT kini merungut kenaikan harga premium bulanan yang perlu dibayar oleh mereka.

Malah, hal ini juga telah dibincangkan di Dewan Rakyat pada Mac lalu.

Inflasi kos perubatan tinggi dan trend penggunaan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat merupakan antara faktor utama yang mendorong peningkatan kadar premium MHIT.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, isu inflasi kos perubatan memerlukan tindakan bersepadu oleh semua pihak untuk memastikan akses kesihatan dan produk MHIT kekal mampu milik dalam jangka masa panjang.

“Kerjasama dengan Kementerian Kesihatan juga sedang dipergiat untuk melaksanakan inisiatif yang terkandung dalam Kertas Putih Kesihatan berkaitan pemerkasaan sistem kesihatan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Prof. Dr. Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan berkata, faktor utama yang mendorong kepada kenaikan tersebut adalah peningkatan kos tuntutan yang dihadapi oleh syarikat pengendali insurans dan takaful.

PROF. NURUL SHAHNAZ

Ujarnya, kenaikan kos tuntutan itu pula didorong oleh perubahan dalam ekosistem penjagaan kesihatan.

Menurutnya, kemajuan pesat dalam teknologi perubatan adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kenaikan kos perubatan.

“Kita dapat lihat prosedur kesihatan kini menggunakan teknologi lebih canggih. Misalnya, penggunaan pembedahan secara robotik, artificial intelligence (AI), perubatan nano dan peralatan perubatan moden.

“Kemajuan teknologi perubatan menyebabkan kos rawatan meningkat. Sudah tentu kos ini akan dipindahkan kepada pesakit (oleh pihak hospital),” kataya.

Ujar Nurul Shahnaz, kenaikan kadar premium insurans dan sumbangan takaful kesihatan oleh syarikat pengendali tidak dapat dielakkan akibat peningkatan ketara dalam kos tuntutan.

Pada masa sama, peningkatan penyakit tidak berjangkit dalam masyarakat juga menjadi antara punca kepada permasalahan tersebut.

Kini, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit jantung, strok, kanser dan pernafasan kronik menjadi antara masalah utama bagi kebanyakan masyarakat di negara ini.

Nurul Shahnaz menjelaskan, peningkatan dalam kes penyakit tidak berjangkit menyebabkan tuntutan insurans dan takaful kesihatan turut melonjak.

“Oleh itu, syarikat insurans dan pengendali takaful kesihatan terpaksa menaikkan kadar premium iapabila tuntutan naik mendadak.

“Ia juga sama seperti hukum permintaan dan penawaran dalam ekonomi, di mana harga akan naik apabila berlaku peningkatan permintaan,” terangnya.

Selain itu, populasi masyarakat di Malaysia yang semakin menua menjadi antara faktor kepada pertambahan tuntutan kos insurans dan takaful kesihatan.

Secara keseluruhan jangka hayat rakyat telah meningkat berbanding dahulu.

Malah, Malaysia akan mencapai status negara tua menjelang 2030, dengan 15 peratus daripada populasi terdiri daripada mereka berusia 60 tahun ke atas.

“Apabila jangka hayat seseorang itu panjang, risiko menghidap penyakit juga akan meningkat di hari tua.

“Jadi, tuntutan insurans dan takaful kesihatan juga akan melambung, sekali gus menjadi faktor peningkatan kadar premium insurans dan sumbangan takaful,” terangnya.

KEPESATAN teknologi dalam perubatan turut mempengaruhi kenaikan.- Gambar hiasan

Mengulas lanjut, Nurul Shahnaz berkata, mentaliti pemegang polisi insurans dan takaful kesihatan juga menyumbang kepada masalah ini.

Terangnya, ada pemegang polisi sebolehnya ingin menuntut sebanyak yang boleh kerana sudah membayar premium dan sumbangan takaful untuk pelan perlindungan tersebut.

“Contohnya, ada masalah kesihatan yang boleh diselesaikan melalui rawatan harian, tetapi memilih untuk masuk ke wad hospital untuk rawatan lebih selesa dan menyeluruh.

“Kadangkala, masalah perubatan tersebut boleh diselesaikan dengan prosedur ringkas, tetapi mereka ingin memaksimumkan tuntutan. Maka, apabila terdapat kos yang tidak dapat dituntut, mereka kecewa dan rasa tertipu.

“Pihak hospital juga perlu mengelak daripada mengambil kesempatan kepada pesakit yang mempunyai perlindungan insurans dan takaful dengan mencadangkan prosedur pilihan yang tidak diperlukan.

“Prosedur-prosedur pilihan akan menyebabkan jumlah kos perubatan melambung dan akhirnya pihak syarikat insurans serta pengendali takaful terbeban dengan kos tuntutan tinggi,” katanya.

Tambahnya, kitaran tersebut menyebabkan pemegang polisi atau peserta akhirnya menjadi mangsa apabila kadar premium insurans dan sumbangan takaful meningkat.

“Dalam jangka masa panjang, jika masalah ini berlarutan, saya risau ramai tidak mampu untuk memiliki perlindungan insurans dan takaful kesihatan terutamanya bagi golongan B40 dan M40.

“Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan bagi memastikan hal ini tidak berlarutan pada masa hadapan,” terang Nurul Shahnaz.

Dalam pada itu, bagi menangani akan masalah berkenaan, Bank Negara (BNM) akan melaksanakan pembayaran bersama untuk produk MHIT ke atas syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) bermula 1 September ini.

Pengambilan produk MHIT beserta ciri-ciri pembayaran bersama yang lebih meluas secara beransur-ansur bertujuan membantu membendung inflasi kos perubatan di Malaysia.

Produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama bukanlah sesuatu yang baharu dalam pasaran Malaysia.

Berdasarkan pemerhatian semasa, tahap premium untuk produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama didapati lebih murah berbanding produk serupa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN