KUALA SELANGOR – Kejadian buli di media sosial tidak hanya tertumpu kepada penghinaan mahupun kritikan, malah ada juga mangsa yang mengalami trauma selepas gambar peribadi mereka dijadikan modal untuk bergurau.
Pengalaman hitam itu dilalui sendiri seorang wanita dikenali sebagai Alia, 31, yang mendakwa menjadi mangsa buli siber menerusi penggunaan ‘sticker’ atau pelekat mesej di aplikasi WhatsApp tahun lalu.
Alia yang juga anak tunggal berkata, kejadian buli itu bermula selepas gambarnya digunakan oleh rakan sekerja wanita untuk membuat pelekat mesej berbaur lucah dan mengaibkan.
“Sebelum ini, memang ada gambar saya dijadikan sebagai sticker, namun hanya berunsur jenaka.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila ada rakan lain pula menghantar pelekat wajah saya yang disunting bersama bahagian sulit lelaki,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Alia, rakan sekerjanya mengaku membuat sticker itu sebagai bahan lawak selepas mengambil gambarnya di akaun Facebook tanpa persetujuan.
“Disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab itu, saya menjadi trauma dan murung sepanjang hari. Sampai satu tahap, saya seperti hampir gila.
“Pada mulanya, saya memang mahu mengambil tindakan undang-undang, namun wanita itu dan keluarganya merayu supaya tidak berbuat demikian.
“Atas nasihat keluarga, saya akur biarpun menghadapi trauma selama beberapa bulan sehingga fobia menggunakan telefon bimbit,” ujarnya yang merupakan seorang kakitangan swasta.
Jelas wanita itu, perbuatan buli seperti yang dilakukan oleh rakannya itu perlu dihindari dan dihapuskan terus kerana kesannya sangat bahaya dan boleh membawa maut.
“Mereka perlu tahu bahawa emosi seseorang itu tidak sama dan bergantung kepada tahap mentalnya sama ada mampu bertahan atau sebaliknya.
“Kerajaan juga boleh menyediakan khidmat psikologi atau kaunseling khas kepada mangsa dan pembuli itu sendiri bagi mengelak perkara lebih teruk berlaku jika tidak ditangani lebih awal,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa buli yang mahu dikenali Roy, 42, mengakui mengalami pengalaman sama apabila gambarnya turut dieksploitasi untuk dijadikan bahan gurauan dalam kalangan rakan-rakan.
Kakitangan kerajaan itu berkata, situasi bertambah buruk apabila gambarnya turut disebarkan ke kumpulan WhatsApp lain sehingga menjadi tatapan isteri, anak-anak dan ahli keluarganya yang lain.
“Gambar itu mereka rakam ketika saya sedang makan dan tidak sangka pula telah dijadikan ‘modal’ dan bahan jenaka di kumpulan WhatsApp.
“Paling menyedihkan apabila anak-anak dan isteri turut bertanya selepas gambar saya disebarkan ke aplikasi lain. Mereka berasa malu sehingga anak-anak enggan ke sekolah,” tambahnya.
Bagi Liza, 23, pula, perbuatan buli menggunakan gambar peribadi mangsa turut berlaku dalam kalangan pelajar universiti terutamanya pelajar wanita.
Katanya, perbuatan itu seperti menjadi trend dan kebanyakan mangsa merupakan individu pendiam dan tidak banyak terlibat dalam perbualan di kumpulan WhatsApp.
“Ada seorang kawan sanggup ‘left group’ selepas tidak tahan dibuli secara senyap-senyap dalam kumpulan WhatsApp apabila gambarnya dijadikan sticker sebagai bahan gurauan,” katanya.














