Gambar hiasan

Bila boleh menang emas Sukan Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KITA masih gagal meraih pingat emas di pentas Sukan Olimpik biarpun sudah 17 edisi bertanding sejak kali pertama di Melbourne, Australia pada 1956 sehinggalah terkini Paris 2024 yang berakhir hujung minggu lalu.

Atlet-atlet negara telah berhempas pulas mengerah keringat bersaing dengan jaguh-jaguh handalan dunia tetapi hanya mampu membutirkan 8 pingat perak dan 7 gangsa termasuklah 2 gangsa pada edisi Paris 2024.

Adakah terkena ‘badi’ Olimpik, tuah tidak memihak atau pun sebenarnya perlu menerima hakikat masih jauh untuk menggapai impian didambakan seluruh rakyat Malayia.

Jujurnya cemburu melihat jiran-jiran seperti Thailand di ranking pertama Asia Tenggara dalam carta Olimpik dengan 41 pingat menerusi 11 emas, 11 perak, 19 gangsa dimenangi 11 edisi berturut-turut dari 1976 hingga 2024.

Emas pertama mereka melalui petinju, Somluck Kamsing di Atlanta 1996 dan sejak itu tak pernah gagal membawa pulang gelaran juara Olimpik kecuali edisi London 2012 dengan kesemuanya melalui angkat berat (5 emas), tinju (4 emas) dan taekwondo (2 emas).

Indonesia tidak kurang hebatnya apabila meraih 10 emas, 14 perak, 16 gangsa dari 1988 hingga 2024 dengan lapan emas menerusi badminton, satu angkat berat dan satu daripada sukan wall climbing.

Penantian emas Filipina juga berakhir ketika edisi Tokyo 2020 melalui kejayaan ratu angkat berat, Hidilyn Diaz sebelum gimnas berusia 20 tahun, Carlos Yulo meraih dua emas Paris 2024 acara senaman lantai dan melombol.

Secara keseluruhan di pentas Olimpik, Filipina meraih 3 emas, 5 perak, 10 gangsa sementara Vietnam (1 emas, 3 perak, 1 gangsa) dan Singapura (1 emas, 2 perak, 3 gangsa).

Emas Vietnam diraih atlet taekwondo, Tran Hieu Ngan sewaktu edisi Sydney 2000, manakala Joseph Schooling mencipta kejutan menewaskan legenda renang dunia dari Amerika Syarikat, Michael Phelps dengan rekod Olimpik 100 meter kuak kupu-kupu di Rio 2016.

Bagi Malaysia, cuma tiga sukan berjaya menyumbangkan pingat Olimpik iaitu badminton (6 perak, 5 gangsa); basikal (1 perak, 1 gangsa) dan terjun (1 perak, 1 gangsa) walaupun telah menghantar 467 atlet sejak Tokyo 1964.

Walaupun jumlah atlet negara lebih rendah berbanding Thailand (689 atlet) dan Filipina (554 atlet) tetapi ia jauh lebih ramai jika dibandingkan Indonesia (397 atlet), Singapura (264 atlet) serta Vietnam (208 atlet).

Persoalannya adakah program-program kita kurang efisien atau sebenarnya sudah perlu mengalih tumpuan kepada sukan-sukan kurang popular yang mampu menjelmakan sesuatu pada edisi-edisi seterusnya.

Lima sukan baharu akan diperkenalkan di Los Angeles 2028 (LA2028) iaitu skuasy, kriket, besbol/sofbol, flag football dan lacrosse, manakala bola jaring, pickleball serta e-Sukan antara berharap tersenarai di Brisbane 2032.

Sekarang adalah waktu tepat untuk memberikan fokus kepada acara lain seperti skuasy untuk LA2028 selain angkat berat, taekwondo ataupun karate (kumite, kata) yang difahamkan akan dipertandingkan di Brisbane 2032, bagi meringankan beban dipikul sukan-sukan tumpuan.

Jadikan kempen sewaktu Paris 2024 sebagai pengajaran dan tumpukan kepada proses persediaan jangka masa panjang walaupun jika perlu mengambil masa dua atau tiga kitaran Olimpik asalkan akhirnya Malaysia berjaya mencapai matlamat utama meraih pingat emas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN