fbpx
LEBIH 1.6 juta penjawat awam kini tertunggu-tunggu berita gembira yang akan diumumkan Perdana Menteri esok. – GAMBAR HIASAN

Esok hari bahagia 1.6 juta penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Esok bakal menjadi hari bahagia buat lebih 1.6 juta penjawat awam apabila pengumuman yang ditunggu-tunggu selama ini mengenai kenaikan gaji akan dibuat Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Setiap penjawat awam sebelum ini mendapat gambaran umum peningkatan gaji masing-masing yang dijangka bermula 15 hingga 42.7 peratus, namun esok mereka sudah boleh membuat kiraan kadar gaji baharu.

Rata-rata penjawat awam yang ditemui Kosmo! menyifatkan pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim itu pastinya akan me­lebarkan lagi senyuman mereka, malah yang lebih penting dapat meringankan beban kewangan dan kos sara hidup.

Di George Town, Pulau Pinang, seorang juruterapi pergigian, Nur Juliana Abdul Mutalib, 42, berkata, berita baik mengenai pengumuman kenaikan gaji adalah saat yang
dinanti-nantikan­nya setelah 20 tahun berkhidmat dalam sektor kerajaan.

“Kenaikan gaji baharu sememangnya diharapkan kerana dapat membantu meringankan kos sara hidup harian. Ini adalah kali kedua kenaikan gaji yang dikatakan tertinggi dalam sejarah.

“Sebelum ini saya hanya menerima bonus yang diberikan secara one off dan kali ini baru hendak merasa kenaikan gaji kali yang kedua,” katanya semalam.

Ibu kepada lima anak itu memberitahu, dia merancang untuk menukar kereta lama iaitu Perodua Kelisa yang dibelinya sejak 18 tahun lalu kepada Perodua Bezza untuk memberi keselesaan kepada ahli keluarganya.

Katanya, tambahan duit daripada kenaikan gaji tersebut akan digunakan untuk urusan persekolahan anak-anak.

KENAIKAN gaji penjawat awam akan diumumkan sempena Majlis Amanat Perkhidmatan Awam ke-19 di PICC, Putrajaya esok.

“Kami pun tidak sabar-sabar tunggu Jumaat ini (esok). Apa-apapun jangan membazirkan selepas gaji naik,” ujarnya.

Di Ipoh, Perak, seorang penjawat awam, Muhd. Razali Embong, 32, berharap kenaikan gaji yang diumumkan akan membantunya dalam mengharungi kehidupan seharian.

Dia yang bergaji sekitar RM2,300 sebulan berkata, kenaikan gaji tersebut adalah tepat pada waktunya.

“Saya yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan telah mela­kukan kerja tambahan pada waktu malam de­ngan membantu kawan berniaga bur­ger.

“Saya ada dua tanggungan iaitu seorang isteri dan anak yang bersekolah. Isteri kerja sebagai guru taska swasta dan dia banyak membantu kewangan keluarga.

“Dengan kenaikan gaji selepas ini, saya mahu menanggung sepenuhnya keluarga ini,” ujarnya.

Seorang lagi penjawat awam yang dikenali sebagai Nur Rasidah, 41, berkata, dia merupakan ibu tunggal yang sedang membesarkan dua anaknya yang masih bersekolah.

“Seorang anak saya bersekolah rendah, manakala kakak­nya belajar di sekolah menengah. Pendapatan saya ketika ini hanya cukup-cukup makan.

“Dengan kenaikan gaji baharu, hidup kami akan lebih selesa selepas ini. Saya pun mungkin boleh membuat simpanan wang untuk masa depan kami anak beranak,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN