SAAT pertama kali menjejakkan kaki di Negeri Di Bawah Bayu kira-kira lima tahun lalu, penulis sangat terkejut apabila melihat begitu ramai pelancong Korea Selatan.
Hampir semua tempat menarik di Sabah yang dikunjungi oleh penulis seperti Pasar Filipina dan tanah tinggi Kundasang dipenuhi pelancong dari Korea Selatan.
Malah, banyak kedai makan di sekitar Kota Kinabalu yang menawarkan hidangan popular dari Korea Selatan seperti ayam goreng pedas, kimbap, sumyang dan tteokbokki.
Tambah menarik, ramai penjual di sekitar Sabah boleh berbahasa Korea dengan baik bagi menarik pelanggan ke kedai mereka. Papan tanda kedai pun ada yang guna bahasa Korea.
Bahkan baru-baru ini, tular satu video yang memaparkan seorang pemuda dari Sabah memberi penerangan kepada para pelancong dalam bahasa Korea di atas bot sehingga menarik perhatian netizen.
Disebabkan itu, penulis mula tertanya-tanya apakah faktor utama Sabah menjadi pilihan para pelancong dari Asia Timur terutamanya Korea Selatan?
Menurut salah seorang rakan penulis, punca utama fenomena tersebut adalah disebabkan keindahan alam semula jadi di Sabah dikelaskan sebagai antara yang tercantik di dunia sehingga dimasukkan dalam buku pendidikan di Korea Selatan.
Jadi tidak hairanlah, Sabah mencatatkan 396,700 pelancong dari Korea Selatan pada 2019 dan 337,100 pada 2018. Jumlah tersebut pastinya semakin meningkat terutamanya selepas pandemik Covid-19.
Dianggarkan terdapat hampir 23 pesawat dengan kapasiti 4,409 tempat duduk terbang secara terus dari Incheon dan Busan ke Sabah pada setiap minggu.
Di samping itu, Sabah menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 2,000 warga Korea Selatan yang kebanyakannya menetap di Kota Kinabalu.
Malah, pembukaan Konsulat Republik Korea di Kota Kinabalu pada tahun lalu jelas membuktikan hubungan baik antara negara itu dan Malaysia terutamanya Sabah.
Hasil pembacaan penulis, kebanyakan pelancong dari Korea Selatan datang ke Sabah untuk menikmati 3P iaitu pulau, pantai dan padang golf.
Daripada ketiga-tiga tarikan tersebut, pasti ramai yang terkejut, padang golf mampu menjadi daya penarik kepada kehadiran pelancong di Sabah.
Untuk makluman, pada hujung tahun 2022, Sabah menjadi tuan rumah kepada kejohanan SBS Golf Korean Ladies Professional Golfer Association (KLPGA) di Dalit Bay Golf & Country Club.
Kejohanan tersebut disiarkan dalam rancangan televisyen di Korea Selatan serta mendapat rating tinggi di sana.
Penulis cukup seronok melihat orang Korea Selatan datang ke Sabah, mereka menikmati pengalaman pelancongan yang baharu di situ.
Pada masa sama, rakyat Sabah juga boleh mendapat untungnya melalui aktiviti ekonomi yang dijalankan seperti pemandu pelancongan serta jualan makanan dan cenderahati.














