fbpx
PARA pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis durian hasil penyelidikan MARDI.

Nikmati durian sepuasnya di ladang pada harga RM50

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI penggemar durian, Faisal Ismail, 35, tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati ‘raja buah’ itu apabila tiba musimnya.

Malah, dia akan mencari lokasi-lokasi yang menjual durian terbaik pada harga berpatutan termasuk tempat tular di dalam media sosial.

“Bulan lalu, saya berkesempatan mengunjungi Durio Tourism di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Kangsar, Perak.

“Ini selepas saya melihat ada rakan media sosial berkongsi tentang pakej menikmati durian di situ.

“Saya datang ke situ semata-mata untuk menikmati durian hasil penyelidikan MARDI,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Tambah pemuda dari Kuala Lumpur itu, dia berpuas hati dapat menikmati durian premium hasil penyelidikan institusi tersebut.

Kunjungan ke situ juga membolehkan Faisal menaiki tram untuk mengelilingi kawasan dusun durian tersebut.

Mengulas lanjut, Faisal berkata, harga yang dikenakan untuk pelancong menikmati durian di situ amat berpatutan.

“Untuk dewasa, harga yang dikenakan adalah RM50 seorang dan pengunjung boleh menikmati durian sepuas-puasnya.

“Apa yang boleh saya katakan, durian hasil penyelidikan MARDI mempunyai rasa yang pelbagai mengikuti jenis buah,” ujarnya.

Durio Tourism di MARDI Kuala Kangsar mengetengahkan lima konsep iaitu teknologi, inovasi, pemuliharaan, pendidikan dan rekreasi (TICER).

Salah satu objektifnya adalah memindahkan teknologi durian kepada orang ramai yang mengunjungi taman agro tersebut.

Pakej Durio Tourism yang dilaksanakan mengikut musim durian itu memberi pengalaman kepada pengunjung untuk melawat ladang durian sebenar.

Mereka akan mengelilingi dusun menaiki tram sambil diiringi jurupandu yang berpengalaman luas dalam penanaman dan varieti durian.

Pengunjung juga akan dibawa ke plot tanaman untuk merasai suasana serta menikmati buah-buahan secara terus dari ladang.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup turut mengunjungi Durio Tourism bersama wakil media bagi merasai suasana dan menikmati varieti durian di situ.

Untuk makluman, Durio Tourism sering menjadi pilihan penggemar durian yang ingin menikmati durian segar dari ladang.

Seorang petugas MARDI, Muhamad Razif Abdul Azim mengutip buah durian di Durio Tourism, Kuala Kangsar, Perak. – MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Pengurusnya, Abu Zarim Ujang berkata, pengunjung dapat menikmati pelbagai durian klon hasil penyelidikan MARDI.

Menurutnya lagi, tempat itu dijadikan lokasi pelancongan berkonsepkan dusun untuk memperkenalkan hasil penyelidikan MARDI kepada orang ramai.

“Di sini, kita mempunyai lebih 20 jenis klon durian hasil kacukan antara klon-klon durian.

“Kami juga sentiasa mengutamakan klon durian yang dilancarkan oleh MARDI sendiri iaitu MDUR 78, MDUR 79 dan MDUR 88,” katanya.

Tambahnya, antara ketiga-tiga klon durian tersebut, MDUR88 adalah yang paling premium.

Durian tersebut merupakan hasil kacukan dua induk durian iaitu D10 dan D24.

Tempoh matang buah berisi tebal itu adalah antara 105 hingga 115 hari.

Selain boleh menikmati sepuas-puasnya durian, pengunjung juga dapat membeli durian untuk dibawa pulang pada harga RM25 sekilogram bagi semua varieti.

Mengulas lanjut, Abu Zarim berkata, keluasan tanah MARDI di situ adalah sekitar 39.52 hektar.

Ujarnya, daripada jumlah itu, 21.1 hektar digunakan untuk penanaman durian.

“Keluasan berkenaan boleh memuatkan hampir 1,600 pokok durian daripada pelbagai jenis klon.

“Namun sekarang, hanya ada 900 pokok dan kami dalam proses untuk tambah pokok-pokok baharu,” jelasnya.

Jelasnya lagi, kebiasaannya, musim durian di situ bermula antara Jun hingga Ogos.

Jadi, Durio Tourism akan dibuka selepas buah pertama gugur sehingga habis musim durian.

“Selain menikmati durian, pengunjung juga berpeluang merasai buah-buahan lain yang semusim dengannya seperti rambutan dan mesta.

“Disebabkan musim durian tidak lama, lokasi ini akan ‘diserbu’ pengunjung termasuk dari luar negara hampir setiap hari,” ujarnya.

Justeru itu, pengunjung yang ingin ke situ disarankan untuk melakukan tempahan secara online terlebih dahulu.

Mengulas mengenai jumlah pengeluaran durian ketika musimnya, Abu Zarim memaklumkan, setiap hari, hampir dua hingga tiga tan metrik durian akan gugur di dusun tersebut.

“Apabila sampai waktu penghujung, jumlah buah yang gugur semakin berkurang.

“Jumlah pengeluaran durian berbeza pada setiap musim.

“Ada pokok yang menjadi pada musim ini dan akan mula berkurangan pada musim seterusnya.

“Ini kerana, jika pokok durian terlalu banyak berbuah, ia perlukan masa untuk berehat.

“Jadi, kita harus sentiasa meletakkan baja supaya pokok terus sihat dan menghasilkan buah terbaik pada masa depan,” jelas Abu Zarim.

Bercerita tentang penjagaan pokok durian di situ, Abu Zarim menjelaskan, pembajaan perlu sentiasa betul.

“Di sini, kita hanya menggunakan baja organik. Pada masa sama, kawalan penyakit dan haiwan perosak juga penting.

“Tumpuan pada penyakit dan haiwan perosak perlu diberikan semasa ia berbunga sehingga menjadi buah iaitu sekitar 120 hari.

“Apabila buah sebesar bola ping pong, baru kita boleh kira ia menjadi.

“Jika baru berbunga, kita tidak boleh jamin ia akan berbuah.

“Ini kerana, apabila berlaku hujan lebat atau angin kencang, bunga boleh gugur, sekali gus menyebabkan buah tidak menjadi,” terangnya.

Sementara itu, Abu Zarim memaklumkan, pengunjung juga boleh datang ke situ di luar musim durian.

Ujarnya, keutamaan diberikan kepada pengunjung yang ingin mendapatkan bahan-bahan tanaman seperti anak pokok durian.

Tambahnya, di luar musim buah, para pengunjung juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan belajar tentang pembiakan tampang serta cantuman mata tunas pokok durian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN