fbpx
Danial (kanan) bersama ahli keluarga yang kini menetap di Purley, London.

Keluar rumah mesti berteman di UK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penduduk terutama komuniti Muslim di United Kingdom (UK) diarahkan bergerak dalam kumpulan sekiranya berhasrat keluar rumah bagi mengelakkan menjadi sasaran kepada kumpulan perusuh.

Seorang rakyat Malaysia di Purley, London, Danial Zulkefli berkata, arahan itu dikeluarkan kerajaan UK dan pihak berkuasa telah meningkatkan tahap ke­selamatan di semua kawasan termasuk di masjid-masjid sekitar kawasan Kota London.

Berkongsi keadaan semasa di sana, Danial bagaimanapun memberitahu, keadaan di Kota London masih selamat dan aman pada masa ini.

“Buat masa ini, kami dinasihatkan supaya mengurangkan pergerakan di luar rumah, jika perlu keluar rumah, kami mesti bergerak dalam kumpulan.

“Ini bagi mengelakkan sebarang ancaman yang boleh memudaratkan keselamatan kami (komuniti Muslim) di Kota London,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Mengulas lanjut, Danial 32, berkata, antara kawasan yang terjejas dengan insiden rusuhan sebelum ini adalah di sebelah utara UK.

“Sekarang (rusuhan) sudah reda sikit, kawasan yang teruk (bergolak) sebelum ini adalah di sekitar kawasan Utara UK ­seperti Rotherham, Liverpool, Sunderland dan Tamworth,” ujarnya.

Danial telah 12 tahun menetap di London bersama isteri dan seorang anak.

ANGGOTA polis berkawal semasa demonstrasi membantah kumpulan pelampau berhaluan kanan diadakan
di Westcliff, timur England pada 7 Ogos lalu. – AFP

Jururunding perniagaan berusia 32 tahun itu berkata, walaupun keadaan di kawasannya aman, namun dia perlu sentiasa berhati-hati kerana terdapat beberapa laporan yang mengatakan insiden seumpama itu (rusuhan) dijangka kembali pada Sabtu ini.

“Itu info awal yang kami dapat, tetapi saya yakin pihak berkuasa telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku di sini,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ­ditanya tentang urusan pekerjaan rakyat Malaysia di Kota London, Danial memberitahu, kebanyakan majikan telah mengeluarkan arahan kepada pekerja untuk bekerja dari rumah buat sementara ­waktu.

“Seperti saya, majikan pun arahkan untuk bekerja dari rumah, jadi legalah sikit sebab ia dapat mengurangkan pergerakan di luar rumah.

“Kebetulan anak saya berusia lima tahun pun sedang bercuti, tetapi kalau isteri mahu keluar membeli barang saya akan temankannya,” ujarnya.

Rusuhan di UK bermula dengan pembunuhan tiga kanak-kanak perempuan di bandar Southport dekat Liverpool.

Rusuhan berlaku susulan khabar angin mendakwa serangan itu dilakukan oleh seorang remaja beragama Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN