MEMILIKI rumah idaman dengan tema hiasan yang memenuhi cita rasa sendiri sememangnya menjadi impian setiap insan.
Apatah lagi, jika hasil tersebut berjaya dicapai sendiri tanpa mengupah khidmat pereka hiasan dalaman.
Sukar untuk tidak terpesona tatkala melihat kediaman milik pasangan suami isteri, Mohamad Firdaus dan Wazieen Sidek yang dihias dengan cukup cantik.
Rumah teres dua tingkat yang terletak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu dihias penuh memikat, bagaikan sebuah kediaman pada era ‘Victorian’.
Kongsi Mohamad Firdaus, kediamannya itu dihias sendiri, bahkan dia juga tidak meletakkan tema tertentu pada kediamannya.
“Jika ditanya tentang tema, jawapannya kediaman ini merupakan tema saya sendiri.
“Semuanya dihias sendiri mengikut cita rasa saya tanpa mengupah atau menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman,” katanya.
Sebelum menjengah masuk ke ruang tamu kediaman, tetamu terlebih dahulu akan terpukau melihat landskap bahagian luar kediaman tersebut yang cukup cantik.
Bahagian luar itu juga menempatkan sebuah kolam air rekaan unik yang ditempah Mohamad Firdaus selepas melihatnya dalam aplikasi Pinterest.
“Saya menempah kolam ini selepas melihat rekaan sebegini menerusi aplikasi Pinterest.
“Saya mencari rekaan sama sekiranya ada dijual di mana-mana, namun tidak menemuinya, lalu mengambil keputusan untuk custom kolam ini, sesuai dengan cita rasa saya,” katanya.
Bahagian kolam itu juga diserikan dengan susunan batu bata rona merah sebagai menyuntik kelainan.

Sebagai penyeri ruangan, Mohamad Firdaus turut meletakkan hiasan berupa arca haiwan seperti rusa dan kijang pada bahagian tamannya itu.
Sebelum memasuki ruang tamu kediaman, pengunjung terlebih dahulu akan melalui kawasan entrance kediaman yang cukup mempesonakan.
Tarikan utama pada ruangan ini adalah kemasan lantai rona hitam putih yang menyerlah suasana elegan.
Menjengah ke kawasan ruang tamu kediaman, ia dihias penuh mewah bagaikan sebuah rumah agam lama.
Gabungan perabot kayu dengan perabot rekaan moden menyuntik elemen klasik mewah pada kediaman tersebut.
Mohamad Firdaus juga banyak menggunakan lampu candelier pada ruangan kediamannya lalu menyerlahkan suasana elegan.
Menariknya, lampu tersebut diletakkan pada kedudukan yang agak rendah bagi memastikan ia boleh dilihat tatkala merakam gambar keluarga di ruangan itu.
“Ruang tamu ini juga merupakan ruang mengambil gambar pakaian yang dipakai atau juga dikenali sebagai ruangan ‘ootd’ keluarga,” katanya.
Pemilihan rona-rona lembut seperti coklat lembut dan putih sebagai rona utama kediaman berjaya menjadikan keseluruhan ruang tampil lembut dan selesa.
Begitu pun, pasangan suami isteri itu turut bermain dengan rona-rona gelap seperti rona coklat gelap pada perabot kayu bagi menaikkan seri ruangan.
Bagi ruang dapur pula, Mohamad Firdaus dan isterinya yang juga merupakan pereka fesyen dan pengasas jenama Firziey Couture turut memilih rona putih sebagai rona utama bagi menyuntik kesenadaan.
Hasilnya, ruangan dapur tampil luas, namun masih penuh karakter dengan pemilihan kerusi kayu pada meja island.














