KUANTAN – Pekerja sebuah syarikat pembersihan warganegara Bangladesh mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki barangan larangan import ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Tertuduh, Md Alim Hossain Bappi, 42, membuat pengakuan terbabit ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mempunyai dalam milikan barang-barang larangan import berupa 400 peket rokok jenama Millionaire Filter King dan 490 peket rokok jenama Zon King International yang dianggarkan bernilai RM1,424.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 25 Julai lalu kira-kira pukul 11.30 pagi di sebuah asrama pekerja di Kawasan Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Jalan Gebeng Bypass, di sini.
Bapa seorang anak itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 atau yang mana lebih tinggi, sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau yang mana lebih tinggi, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang, Nurhafizah Ahmad di mana pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh atas alasan tertuduh merupakan seorang warga asing dan dikhuatiri tertuduh akan melarikan diri.
“Namun jika pihak mahkamah ingin menggunakan budi bicara dengan menawarkan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri kepada pihak JKDM pada hari Isnin minggu pertama setiap bulan di Pejabat Kastam Jalan Bank,”katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam pula memberitahu tidak mempunyai mana-mana pihak untuk mengikat jamin tertuduh selain tertuduh perlu menyara seorang ibu, isteri dan seorang anak yang berada di Bangladesh dengan pendapatan bulanan sebanyak RM2,500 sebulan.
“Kita tidak ada orang boleh jamin. Tiada siapa pun boleh tolong, wang pun tiada boleh jamin,” kata tertuduh yang telah menetap di negara ini sejak 15 tahun lalu.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan sebagaimana diminta pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 5 September depan sebagai tarikh sebutan semula dan kehadirian jurubahasa. – KOSMO! ONLINE