KUCHING – Pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bintulu dijangka dilaksanakan tidak lama lagi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia sebaik sahaja proses pembayaran premium tanah kepada kerajaan Sarawak selesai.
“Sekarang kita fokus untuk menyelesaikan isu tanah berkaitan dengan proses untuk mendapatkan premium bersesuaian.
“Sebaik ia selesai, kita akan mengemukakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk memulakan projek pembinaan pangkalan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja ke Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) di Kem Penrissen, di sini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Terdahulu, Khaled berkata pembinaan pangkalan terbaharu TLDM itu antara isu yang dibincangkan dalam kunjungan hormatnya kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebentar tadi.
Beliau berkata, Abang Johari bersetuju MAWILLA 4 dibina di satu kawasan di Samalaju bagi membolehkan TLDM mewujudkan pangkalan yang berdekatan dengan kawasan Lapangan Gas Kasawari dan Beting Patinggi Ali di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Laut China Selatan.
Dalam pada itu, Khaled berkata beliau turut memberi jaminan kepada Abang Johari bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa komited untuk menjaga keselamatan Sarawak dari sebarang bentuk ancaman.
Justeru, katanya kawalan sempadan khususnya antara Sarawak dan Kalimantan, Indonesia akan semakin diperketatkan apabila kesemua 23 pos kawalan sempadan siap dibina tidak lama lagi.
Menurutnya ketika ini, sebanyak 17 pos kawalan sempadan di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan yang sudah beroperasi. -KOSMO! ONLINE.