fbpx
Menjadi pengasuh memerlukan komitmen dan kesabaran tinggi.

Bukan mudah menjadi pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Minggu lalu, kes seorang bayi perempuan berusia dua bulan patah paha disyaki didera pengasuh meruntun hati penulis. Terdetik di hati bagaimanalah kejadian itu boleh terjadi.

Pada usia sekecil itu, bayi berkenaan telah merasai kesakitan yang tidak sepatutnya. Kes ini antara banyak kejadian yang mendatangkan trauma di hati si ibu.

Ketika ini, khidmat pengasuh sangat penting, sama ada yang berdaftar atau sebaliknya, mereka sangat diperlukan pasangan suami isteri bekerjaya.

Banyak pusat asuhan yang menawarkan khidmat menjaga anak-anak kecil di bawah usia empat tahun dan tidak kurang juga yang menjalankan perkhidmatan itu di rumah.

Dari segi bayaran, pastinya berbeza terutama antara bandar dan luar bandar selain premis berdaftar mahupun di rumah. Bagi yang berusia dua tahun dan ke bawah, harga dikenakan mencecah antara RM400 hingga RM600.

Bagi yang dua tahun ke atas, mereka memperuntukkan antara RM250 hingga RM400 sebulan.

Jangan terkejut jika ada yang caj lagi mahal. Malah ada juga pengasuh yang menawarkan harga mengikut jam selain mengenakan bayaran tambahan RM10 satu jam lewat ambil. Ini baru perkiraan seorang anak. Ada yang terpaksa mengeluarkan belanja RM2,000 sebulan. Begitulah jika ada permintaan.

Jika seorang bayi itu dibayar RM400 sebulan, sehari pengasuh berkenaan mendapat upah sebanyak RM20 sehari.

Bukan mudah untuk menjadi seorang pengasuh. Tidak juga kaya mereka yang menawarkan khidmat asuhan anak-anak.

Sejujurnya, melihat ibu menjadi pengasuh suatu masa dahulu terasa sungguh penat. Anak orang tidak sama. Anak sendiri boleh ditangan-tangankan.

Pengasuh ini seperti kita, bekerja dari pukul 7 pagi hingga malam. Biasalah adat bekerja. Kadang-kadang mereka lupa atau terbiasa mengambil kesempatan.

Bekerja sebagai pengasuh, emosi kena sentiasa stabil. Tindakan perlu sentiasa cekap. Tidak boleh cepat marah!

Kanak-kanak banyak ragam terutama bayi yang memerlukan lebih perhatian. Paling penting anda sebagai pengasuh perlu sayang kanak-kanak.

Ada yang menjadi pengasuh dengan kelayakan, belajar di pusat pengajian dan bekerja dengan pusat berdaftar.

Bagaimanapun ada yang menjalankan perkhidmatan berkenaan tanpa sebarang sijil berkaitan. Apatah lagi menjalani kursus, malah tawarkan khidmat berdasarkan pengalaman.

Ada yang menjadi pengasuh kerana menambah mata pencarian. Suami isteri yang perlukan pengasuh pula ramai.

Apa juga tujuan anda menjadi pengasuh jangan pandang sambil lewa nyawa anak orang. Tidak salah menggunakan buaian, namun salah meninggalkan anak orang tanpa pengawasan sewajarnya dan dalam tempoh lama.

Malang tidak berbau. Kematian Baby Syifaa akhirnya terungkai, pemergiannya bukan disebabkan kemalangan sebaliknya kecuaian. Jangan jadi pengasuh jika anda tidak sabar, tidak boleh kawal emosi, tidak sayang kanak-kanak.

Amanah datang bersama tanggungjawab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN