fbpx
Karya pop-up art kertas yang dihasilkan Adibah mementingkan aspek keterperincian objek-objek.

Seni pop-up lapisan kertas terjemah budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA diamati, sekeping karya seni berasaskan kertas yang dibingkai kemas lalu dijual di sebuah kedai menjual barangan seni yang terletak di Pulau Pinang itu bukanlah seni biasa.

Seni yang dihasilkan seorang pelukis ilustrasi kelahiran Kuala Lumpur, Adibah Bahiah Awang itu cukup unik apabila bukan sahaja mempersembahkan kreativiti lapisan kertas bahkan menterjemah nostalgia kehidupan dan budaya masyarakat Malaysia.

Tidak hairanlah, ramai yang cukup tertarik untuk memiliki karya-karya unik yang dihasilkan wanita berusia 29 tahun itu untuk mengimbau kenangan masa lalu.

Adibah Bahiah yang lebih mesra disapa Adibah memberitahu dia mula menghasilkan karya seni daripada kertas sejak tahun lalu.

“Biarpun masih baru berkecimpung dalam dunia penghasilan seni daripada kertas, saya jatuh hati terhadap penghasilan sesuatu yang bersifat fizikal, memandangkan sebelum ini saya lebih banyak menghasilkan karya berbentuk digital seperti menerusi komputer atau iPad.

“Selepas menggabungkan aspek fizikal dan digital dalam penghasilan seni ini, saya seronok apabila dapat memberi sentuhan karya seni sendiri,” kongsinya kepada K2.

Elemen budaya atau kehidupan seharian penduduk Malaysia yang digambarkan menerusi ilustrasinya menjadikan karya itu tampil unik dan mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Ujar Adibah, dia memilih untuk membuat zine yang merujuk kepada ‘majalah’ diterbitkan sendiri dalam jumlah yang kecil dipenuhi unsur kehidupan seharian warga Malaysia seperti makan di kopitiam, menikmati sepinggan nasi kandar dan juga membeli barangan di kedai runcit.

Karya pop-up art kertas yang dihasilkan Adibah turut didapati dalam bentuk bingkai.

Ia juga cukup unik kerana dihasilkan dalam beberapa lapisan kertas, bagi menggambarkan sesuatu yang dipanggil pop-up art.

“Sebenarnya, saya mula menghasilkan artwork sebegini selepas mula melukis kedai runcit kegemaran saya. Memandangkan saya seorang yang cukup teliti, saya mahukan semua sudut yang ada pada kedai runcit itu, ada pada karya seni saya.

“Justeru, saya mula bereksperimen dengan beberapa lapisan yang kemudiannya menghasilkan pop-up art.

“Saya seronok apabila dapat menonjolkan setiap aspek pada kedai itu dalam pelbagai lapisan, sebagai contoh lapisan roti di bahagian hadapan kedai, diikuti dengan bakul sayur-sayuran pada lapisan tengah kedai dan plastik mainan di bahagian atas kedai,” katanya.

Mata seni Adibah melihat kedai runcit sedemikian sebagai sesuatu yang cukup menarik kerana biarpun susunannya mungkin kelihatan serabut, namun bagi Adibah, ada sebab mengapa setiap susunan itu dibuat begitu dan dia melihatnya sebagai sesuatu yang menterjemahkan perniagaan tersebut.

“Saya melihatnya sebagai sesuatu yang menarik dan oleh sebab itu, saya mahu menterjemah apa yang dilihat itu dengan sebaik mungkin menerusi karya seni ini,” jelasnya.

Bercerita mengenai proses penghasilannya, Adibah akan melukis pada kertas dan kemudian melakukan potongan mengikut bentuk objek menggunakan pisau pemotong.

Ia kemudian disusun dan dicantum lapisan demi lapisan seolah satu lipatan. Apabila lapisan-lapisan itu ‘disatukan’ maka terlihatlah pemandangan penuh ilustrasi.

Selain kertas, proses penghasilan seni pop-up kertas turut menggunakan peralatan lain seperti pisau pemotong dan gam untuk memotong objek-objek dan mencantumkan lapisan kertas.

Keunikan karya seni Adibah juga turut mendapat pujian orang awam yang rata-ratanya mengakui terimbau kenangan lalu.

“Ramai yang memberitahu saya mereka pernah berkunjung ke sebuah kedai runcit sama seperti yang saya paparkan, ada juga yang beritahu nenek mereka pernah mengusahakan kedai runcit sebegitu dan sebagainya.

“Bagi saya, komen-komen sebegini menunjukkan bahawa kebanyakan daripada kita berkongsi pengalaman serupa sebagai rakyat Malaysia dan saya sentiasa berasa seronok apabila melihat pelanggan teruja dapat mengimbau kembali kenangan sewaktu kecil apabila melihat pop-up art ini,” katanya.

Menyentuh cabaran menghasilkan pop-up art, Adibah berkata, cabaran terbesar baginya adalah mengurangkan pembaziran kertas yang digunakan bagi setiap karyanya.

Ujar Adibah, dia perlu sentiasa mengingatkan dirinya untuk tidak menggunakan terlalu banyak kertas dan mula menggunakan kertas terpakai.

Selain itu juga, penghasilan pop-up art berbeza dengan seni digital kerana tidak mudah dipadam sekiranya berlaku kesilapan.

“Maka, saya perlu sentiasa teliti dan merancang strategi dengan lebih baik. Biarpun ia mencabar, namun saya amat menghargai setiap proses itu,” katanya.

Bercerita lanjut, Adibah yang juga merupakan graduan dalam bidang seni bina berkongsi ilmu yang dipelajarinya dalam bidang itu cukup membantu dia menghasilkan sesuatu karya yang unik.

“Banyak kemahiran yang saya pelajari dahulu dipraktikkan ke dalam kerjaya saya kini. Antaranya termasuk teknik menghasilkan ilustrasi dan teknik memotong kertas.

“Namun, kemahiran yang paling saya hargai sepanjang bergelar pelajar seni bina adalah kemahiran melihat dan menjadi lebih peka dengan persekitaran saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN