TAIPING – Cuaca panas yang melanda negara ini sekarang menyebabkan paras air di Taman Tasik Taiping yang popular sebagai kawasan pelancong semakin kering dan menyusut.
Tinjauan yang dilakukan di kawasan tersebut mendapati, air di tasik berkenaan kering sehingga menampakkan dasarnya.
Ini menyebabkan orang ramai yang datang mengambil kesempatan turun ke dasar bagi merakam suasana di tempat tersebut.
Sejak beberapa hari lalu, tular gambar dikongsikan netizen di media sosial menunjukkan paras air di Taman Tasik Taiping yang berusia 133 tahun itu menyusut akibat cuaca panas berpanjangan sejak dua bulan lepas.
Keadaan yang jarang-jarang berlaku itu menyebabkan Taman Tasik Taiping kini menerima kunjungan ramai orang yang datang untuk melihat sendiri keadaan tersebut, selain mengambil peluang merakam gambar fenomena itu.
Seorang pengunjung, Ira Johari, 30, berkata, dia datang ke situ bersama keluarga semata-mata mahu melihat sendiri paras air di tasik itu yang kering secara mendadak seperti yang dibaca di media sosial.

KEADAAN paras air Taman Tasik Taiping sebelum kering.
Katanya, kejadian itu difahamkan berlaku buat kali pertama sejak 10 tahun lalu.
“Setiap tahun tasik itu mengalami paras air yang menyusut ketika musim kemarau, namun ia tidak seteruk ini.
“Biasanya air dalam tasik hanya susut sedikit sahaja, tetapi kali ini berlainan hingga boleh melihat dasar,” katanya ketika ditemui di Taman Tasik Taiping di sini semalam.
Seorang lagi pengunjung, Mohd. Salihin Noor, 27, pula memberitahu, dia dan rakan-rakan berkonvoi dari Kepala Batas, Pulau Pinang untuk melihat sendiri keadaan paras air di tasik berkenaan.
“Bukan selalu kita boleh lihat Taman Tasik Taiping kering, jadi kami ambil keputusan untuk mengunjungi kawasan rekreasi ini. Tambahan pula lokasinya tidak jauh dari tempat tinggal kami.
“Orang ramai hadir sejak semalam dan kebanyakan yang datang turun ke dasar tasik untuk berswafoto dan merakam video sebagai kenang-kenangan.
“Sudah macam berada di tepi pantai pula di sini, siap ada yang berkelah di dasar tasik,” katanya.














