PENCARUM KWSP diberikan kemudahan untuk membuat Pengeluaran Khas menerusi Akaun Fleksibel bermula Mei tahun ini.

‘Kami menyesal keluar duit KWSP’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rata-rata pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyesal dan mengakui telah tersilap langkah apabila membuat pengeluaran wang menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini.

Menurut mereka, kebanyakan wang yang dikeluarkan sebelum ini sama ada menerusi i-Lestari, i-Citra dan i-Sinar telah habis digunakan, sekali gus memberi kesan kepada jumlah keseluruhan caruman sedia ada.

Situasi itu menyebabkan ada pencarum yang memilih untuk tidak memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera atau Akaun 2 ke Akuan Fleksibel bagi tujuan Pengeluaran Khas.

Setakat 19 Julai lalu, kira-kira 9.3 juta pencarum daripada 13.1 juta ahli KWSP di bawah 55 tahun memilih untuk tidak mempu­nyai amaun permulaan di dalam Akaun Fleksibel.

Seorang pengurus jualan, Rizal Mohamad, 44, mengakui agak bimbang untuk membuat pindahan wang ke Akaun Fleksibel bagi tujuan pengeluaran kerana takut terperangkap dengan sikapnya yang boros berbelanja.

Katanya, sebelum ini dia pernah membuat dua pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Lestari kononnya untuk digunakan bagi tujuan mendesak dan kecemasan.

“Namun, sebaliknya yang berlaku apabila kesemua wang yang dikeluarkan daripada kedua-dua skim itu habis dibe­lanjakan untuk perkara yang sia-sia.

“Rasa menyesal pun ada kerana ketika itu saya bukannya ter­desak untuk menggunakan wang.

“Sebabkan terhasut dengan saranan kawan-kawan, saya buat juga pengeluaran tersebut dan duit akhirnya dihabiskan begitu sahaja,” katanya kepada Kosmo!.

Rizal yang berpendapatan RM6,000 sebulan dan masih bujang berkata, menyedari sikap­nya yang terlalu boros, dia memilih untuk membiarkan carumannya di KWSP berkembang demi kegunaan selepas bersara kelak.

“Saya sedar diri ini sangat boros berbelanja. Kalau tiada duit, pandai pula saya bercatu tapi bila ada, saya lupa diri,” jelasnya.

Pengeluaran bersasar KWSP sebelum ini membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM145.5 bilion iaitu melibatkan pengeluaran i-Lestari sebanyak RM20.8 bilion, i-Citra (RM21.4 bilion), i-Sinar (RM58.7 bilion) dan Pengeluaran Khas (RM44.6 bilion).

Di Kuala Terengganu, seorang pencarum, Abdul Halim Mazlan, 46, turut mengakui perlu menahan diri daripada memindahkan simpanan Akaun Sejahtera berdasarkan pengalaman lampau ketika mengeluarkan simpanan daripada i-Citra dan i-Sinar.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya banyak keluarkan duit KSWP sehingga simpanan Akaun 2 (Akaun Sejahtera) hanya tinggal RM12,000.

“Saya sangat menyesal kerana kalau ikutkan hati, bukit tinggi pun akan jadi rata kalau hari-hari kena tarah,” katanya.

Abdul Halim memberitahu, dia telah mengeluarkan kira-kira RM15,000 menerusi pengeluaran i-Citra dan i-Sinar.

Jelasnya lagi, niat asal ketika melakukan pengeluaran itu adalah untuk mengurangkan hutang dan menampung perbelanjaan bulanan.

“Apabila duit ada depan mata, lain pula jadinya. Banyak wang KWSP dibazirkan terutama untuk beraya sakan dan bercuti bersama keluarga ketika itu.

“Akhirnya, hutang masih tidak berkurang, sebaliknya caruman KWSP pula semakin susut,” tambahnya.

Di Pulau Pinang, seorang eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta, Safwan Isa, 45, pula nekad mengekalkan ke­semua caruman KWSP miliknya untuk kegunaan hari tua.

Menurut bapa kepada dua cahaya mata berusia 10 dan 14 tahun itu, meskipun berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang tinggi ketika ini, ia bukan bermakna dia perlu mengeluarkan simpanan daripada Akaun Fleksibel.

“Cukuplah pengalaman lalu jadi pengajaran. Ketika itu, saya buat pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar dengan jumlah keseluruhan mencecah RM20,000.

“Masalahnya, saya tidak nampak barang apa yang dibeli dengan wang itu melainkan hanya menjelaskan hutang.

“Jadi, saya memang tidak mahu keluarkan lagi sampailah tempoh matang,” katanya.

Safwan menambah, dia kini mahu menjadi seorang penca­rum yang lebih bijak dan tidak terlalu mengikut perasaan walaupun layak untuk membuat pengeluaran menerusi Akaun Fleksibel.

“Biarlah hidup dengan berpegangkan konsep bersusah dahulu dan bersenang kemudian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN