APABILA bercakap tentang transit aliran ringan (LRT), pasti ramai membayangkan panorama pencakar langit Kuala Lumpur sebagai latar belakang pengangkutan awam tersebut.
Namun, hasil inisiatif dicetuskan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), dua buah gerabak LRT telah dilabuhkan di dasar laut untuk dijadikan tukun tiruan.
Hasilnya, para penyelam dapat merasai pengalaman menyelam ke dalam LRT sambil ditemani hidupan marin yang menjadikan tukun tiruan itu sebagai habitat.
Tapak terumbu yang terletak sejauh 18 meter di dasar laut Monkey Bay, Pulau Tioman, Pahang itu dinamakan sebagai Tapak Selam Al-Sultan Abdullah.
Usaha tersebut menjadikan Pulau Tioman diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pulau pertama di Malaysia memiliki tukun gerabak LRT.
Majlis pelancaran MBOR: The First LRT Coach Reef in Malaysia itu disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Berjaya Tioman Resort.
Turut berangkat ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Pengurus Besar YASA, Mohd. Fakhrul Islam Juhali berkata, Pulau Tioman dipilih sebagai lokasi program kerana ‘kekayaan’ persekitaran marinnya.
Katanya lagi, pulau tersebut juga memiliki kepentingan strategik sebagai destinasi pelancongan utama di Pahang.
“Pulau ini merupakan pulau terbesar dalam kumpulan sembilan pulau yang membentuk Taman Laut Pulau Tioman.
“Antara aktiviti yang popular di pulau ini adalah selam snorkel dan selam skuba kerana tarikan terumbu karangnya.
“Tapak selaman ini diharapkan dapat meningkatkan ekonomi tempatan dengan menarik lebih ramai pelancong,” jelasnya.
Untuk rekod, program itu dianjurkan oleh YASA dengan kerjasama Gaya Travel Media serta disokong oleh Lembaga Pembangunan Tioman,
MBOR, Prasarana Malaysia Berhad, Jabatan Perikanan Malaysia, Tourism Pahang, Berjaya Hotels & Resorts, Salam Alliance Sdn. Bhd. dan Aqualight Motion.
Secara keseluruhan, usaha melabuhkan dua gerabak LRT itu melibatkan 60 penyelam diketuai Tengku Panglima Raja, Brigadier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Berkongsi tentang cabaran pelaksanaan misi tersebut, penasihat teknikal program, Noriqram Mohd. Nor berkata, pelbagai aspek melibatkan logistik, cuaca, arus dan tahap pasang surut air diteliti dengan rapi.
“Setelah lebih kurang dua bulan melakukan perbincangan dengan pihak YASA dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), kami (Tukung Meng) mula melakukan kerja-kerja melabuhkan LRT.
“Tukung Meng terdiri daripada penyelam pelbagai kepakaran termasuk pengajar skuba, jurutera struktur, ahli biologi marin dan pakar perubatan hiperbarik,” katanya.
Proses membawa kedua-dua gerabak dari Kelana Jaya, Selangor ke Kuala Rompin, Pahang itu dilakukan oleh Aman Logistik menggunakan trak.
Sebaik tiba di Kuala Rompin, kerja-kerja fabrikasi platform yang diperbuat daripada ‘galvanised iron’ (paip besi yang diisi konkrit) dilakukan untuk dijadikan asas tapak pelabuhan LRT.
Kemudian, proses ‘depollution’ LRT dilakukan bagi membuang komponen yang berbahaya kepada hidupan laut seperti minyak pelincir, getah, motor dan roda.
Setelah hasil ‘depollution’ mendapat kelulusan daripada pihak DOF, kedua-dua gerabak LRT seberat 14 tan, platform serta kren diangkut menggunakan tongkang.
Perjalanan tongkang ke Pulau Tioman diuruskan oleh Sinar Tioman Enterprise yang memakan masa selama enam jam.
Tambah lelaki yang turut dikenali sebagai Bundy itu, LRT dengan platform pada bahagian tapaknya dilabuhkan ke dasar laut secara berhati-hati.
Katanya, fungsi platform tersebut bertujuan mengelakkan gerabak LRT bergerak apabila terdapat tekanan arus pada permukaan dasar laut.
“Oleh kerana ini pertama kali gerabak LRT dijadikan tukun, kami tidak pasti berapa laju air akan memasuki rongga-rongga gerabak.
“Namun, hasil kepakaran dan kerjasama semua, setiap isu yang timbul dapat diatasi dengan jayanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan Cawangan Konservasi Ekosistem Dan Biodiversiti, Jabatan
Perikanan Malaysia, Azlan Md. Nor berkata, pemantauan akan dibuat enam bulan atau setahun sekali bergantung kepada integriti struktur tukun tersebut.
Ujarnya, dinding LRT secara asasnya memiliki struktur yang licin, sekali gus menyukarkan pembiakan terumbu karang.
Justeru, pihaknya mencadangkan agar rangka pemulihan karang diletakkan di atas tukun LRT agar tujuan konservasi dapat dicapai.
“Semasa buat syarat kelulusan, kami cadang untuk meletak rangka pemulihan karang.
“Kita akan tengok koloni terumbu karang membiak di kawasan tersebut.
“Kami akan mulakan dengan spesies terumbu acropora yang akan tumbuh secara semula jadi sepanjang dua hingga tiga inci setahun,” jelasnya.
Impak domino terhadap langkah konservasi tersebut tertumpu kepada usaha menarik kehadiran lebih banyak ikan ke terumbu karang tersebut dan dijadikan habitat.
Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan kepada terumbu karang sedia ada kerana sebahagian ikan akan berpindah ke habitat baharu.
Limpahan ikan yang bertelur dan membiak di habitat baharu itu nanti boleh menjadi punca rezeki kepada para nelayan di sekitar kawasan pulau tersebut.
Bagaimanapun, Azlan menegaskan, nelayan tidak dibenarkan memukat ikan berdekatan kawasan tukun LRT berkenaan.
“Terumbu karang sangat sensitif. Kalau terkena bubu, ia boleh rosak dan mati, sekali gus menjejaskan hidupan marin yang bergantung kepadanya.
“Bagaimanapun, nelayan boleh mendapat manfaat apabila ikan-ikan ini keluar dari habitat dan berenang bebas di lautan,” katanya sebelum menutup bicara.














