Membesarkan seorang anak normal sudah cukup mencabar untuk dilalui oleh ibu bapa, apatah lagi jika ditakdirkan menjaga anak autistik yang perilakunya sukar diramal.
Pengalaman seorang kenalan penulis yang hanya mahu dikenali sebagai Fazz, 30, memiliki anak perempuan berusia 10 tahun yang menghidapi gangguan perkembangan neuro atau autisme mengakui, kehidupannya bersama suami berubah 360 darjah dari sebelumnya.
Katanya, sehingga kini dia mendidik anaknya seorang diri tanpa merujuk kepada pakar kerana takut kekurangan cahaya mata pertamanya itu diketahui orang.
“Saya dan suami masih tak boleh terima anak ada autisme. Cukup la sekali itu (enam tahun lalu) doktor maklumkan kepada kami anak disyaki ada autisme. Doktor minta kami bawa jumpa pakar. Tapi kami malu jika orang lain tahu.
“Saya rasa dengan bahan di YouTube pun sudah memadai untuk saya ubat anak kami,” katanya.
Pada masa sama, penulis cuba memberi nasihat semampu mungkin agar Fazz dan suami mendapatkan bantuan pakar dalam menjaga anak istimewa itu kerana takut akan mengundang sesuatu yang buruk di kemudian hari.
Hal ini kerana, ibu bapa yang tidak mempunyai ilmu berkaitan penjagaan anak autistik, boleh mengancam keselamatan dan pembesaran anak selain turut menafikan hak golongan istimewa itu.
Mempunyai pandangan sama, Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin berkata, ibu bapa yang tidak memiliki ilmu menguruskan anak autisme akan menyebabkan mereka tertekan dan gagal mengendali situasi di luar jangka hingga boleh ‘membunuh’.
Katanya, ia merupakan salah satu punca ibu bapa gagal mengawal anak autistik kerana mereka memerlukan perhatian yang lebih berbanding kanak-kanak normal.
Ibu bapa yang mempunyai anak autisme perlu mendapatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mendidik dan mengurus.
“Ibu bapa yang ada anak autistik ini bukan senang, mereka perlu faham dan perlu belajar apa itu autistik, baru mereka mampu menjaganya,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Megat Ahmad Shahrani, ramai ibu bapa tidak mempunyai ilmu mengenai autisme akan mengambil tindakan paling mudah iaitu mengurung anak autistik daripada bergaul.
Tambahnya, terdapat juga kes anak autistik diseksa emosi dan mental selain melakukan penderaan fizikal kerana terlampau tertekan dengan cabaran besarkan anak autistik.
Situasi itu jelas memperlihatkan betapa kejamnya ibu bapa yang tidak mahu menerima hakikat anak mereka perlu dibantu.
Mereka lebih memilih menyeksa kehidupan anak-anak itu berbanding berdepan dengan realiti kerana malu jika masyarakat luar tahu zuriat mereka tidak normal dengan kanak-kanak lain.
Selain itu, mengulas lanjut mengenai hak anak-anak autistik ini, penulis merayu agar kerajaan dan pihak berwajib yang lain untuk lebih cakna dengan keperluan golongan autisme kerana jumlah mereka juga sudah melebihi 60,000 orang setakat 30 Jun lalu.
Sebelum ini, Megat Ahmad Shahrani mendedahkan, penjagaan anak-anak autisme di luar bandar amat membimbangkan kerana kekurangan pendedahan dan kaedah yang sewajarnya.
Justeru itu, beliau menyarankan lebih banyak pusat jagaan diwujudkan di luar bandar bagi membolehkan golongan ibu bapa lebih cakna dengan keperluan kanak-kanak autisme.














