fbpx
Kebiasaan anak autistik perlu menjalani sesi terapi tiga kali seminggu. – AFP

Sanggup berhabis wang demi anak autistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG JAYA – “Saya sanggup jaga anak saya sampai tua”.

Demikian kata seorang ibu, Norafiza Abd. Karim, 35, berhubung anaknya Mohd. Affan Akmal, 8, yang disahkan mengalami autisme pada usia dua tahun.

Norafiza berkata, meskipun pada awalnya dia sukar untuk menerima perkara tersebut, namun dia akur dan memutuskan untuk membuat intervensi awal bagi membantu anaknya.

“Memang tak boleh diterima akal mula-mula tetapi doktor nasihatkan masih ada harapan untuk bantu (anak) jika buat ra­watan awal.

“Jadi, saya mula cari maklumat berkaitan autistik dan bawa anak berjumpa pakar di hospital swasta. Saya tak nak dia dah besar baru kami sedar benda ini. Waktu itu memang dah terlambat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dalam pada itu, Norafiza berkata, dia dan suami memilih hospital swasta untuk sesi terapi anaknya kerana inginkan rawatan lebih cepat meskipun terpaksa mengeluarkan kos lebih RM10,000 bagi tempoh satu tahun.

“Kami mula bawa Affan pergi terapi pada usia 5 tahun. Sekali terapi kena bayar RM168 dan kalau setahun sudah RM8,000. Untuk setiap enam bulan pula, doktor akan buat review (semakan) dalam RM1,600 setahun.

“Selain itu, saya bawa anak pergi program child development berjumlah RM500 untuk satu sesi,” jelasnya.

Kosmo! semalam melaporkan ramai ibu bapa bersikap penafian apabila meilhat tingkah laku anak yang cenderung kepada autistik ketika masih kecil.

Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak itu lambat menerima rawatan awal dan ramai juga kalangan penjaga tidak mampu membayar kos terapi.

Mengulas lanjut, Norafiza berkata, dia sanggup berbuat apa sahaja bagi membantu anaknya termasuklah menjaganya sehingga tua sekiranya perlu.

“Saya harap intervensi awal ini dapat bantu anak saya. Setakat ini, memang saya nampak ada perkembangan yang sangat baik.

“Sebab sebelum ini, memang saya yang buat semua. Saya buat latihan komunikasi, membaca dan bermain dengan dia. Cuma saya akui, ada sesetengah perkara, memang di luar kemampuan saya,” jelasnya.

Sementara itu, seorang bapa dikenali sebagai Ibnu Muhammad Ali Maimun, 38, mengakui bahawa pengorbanan yang diperlukan untuk menguruskan anak autistik adalah sangat besar.

“Bukan sahaja dari segi duit tetapi masa dan kesabaran. Bagi saya, ibu bapa perlu sentiasa mencari ilmu dan memahami anak-anak mereka meskipun terdapat terapi dan rawatan daripada profesional.

“Jangan ikut orang lain. Yang penting anak kita berjaya dalam mengawal emosi, menguruskan diri dan mampu untuk berkomunikasi dengan baik,” jelasnya.

Ibnu yang memiliki tiga anak OKU yang mana salah seorang iaitu Muhammad Raiqal Izham, 4, menghidap autisme.

“Lagi dua anak saya menghidap Attention Deficit Hyperactiviti atau gejala hiperaktif dan diskelsia. Oleh sebab itu, isteri saya terpaksa berhenti berniaga dan menumpukan sepenuh masa untuk menguruskan anak-anak di rumah.

“Saya pernah terfikir, jika perlu jaga mereka sehingga tua, kami akan jaga. Ini tanggungjawab dan amanah kami,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN