KUALA KANGSAR – Seorang remaja berusia 15 tahun diperintah menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan selepas didakwa membunuh ibunya tanpa niat di Kampung Cheh Kati minggu lalu.
Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin mengeluarkan perintah itu selepas mendapati remaja tersebut tidak memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
“Awak dengar apa dia baca? Awak faham ke? Tak faham? Tadi dengar apa dia cakap, faham ke? Tak faham?” tanya Majistret kepada remaja itu ketika prosiding berlangsung.
Ketika prosiding, Majistret turut bertanyakan kepada tertuduh adakah dia sudah makan, dan remaja tersebut hanya menjawab ‘nasi’.
Mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuan kerana dimaklumkan tertuduh mempunyai rekod mental.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Mirza Zulaikha Mohd. Fadzly tidak menawarkan jaminan dan meminta kepada mahkamah tarikh sebutan baharu selepas menerima laporan pemeriksaan psikiatri.
Mengikut pertuduhan, remaja itu pada tarikh 23 September lalu pukul 2.10 petang didakwa telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Nor Ainon Omar, 49, dengan niat hendak menyebabkan kematian dan dengan itu telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Jika didapati bersalah, boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Dalam kejadian itu, seorang wanita OKU lembam didapati meninggal dunia atas faktor kehilangan banyak darah di kaki akibat dicucuk benda tajam.
Ekoran kejadian itu, remaja tersebut yang merupakan anak mangsa ditahan reman selama dua hari bermula Khamis lalu, manakala suami mangsa direman tujuh hari bermula hari yang sama.
Bagaimanapun hari ini, suami mangsa tidak dikenakan sebarang pertuduhan, namun difahamkan akan menjadi saksi pendakwaan kes berkenaan.
Keluarga tersebut amat dikenali oleh warga Kuala Kangsar kerana kerap menghias kereta mereka dengan Jalur Gemilang serta ketua keluarga itu sering membawa anak-anak mengunjungi kawasan tumpuan di bandar ini. – KOSMO! ONLINE
















