HALA tuju pelajar selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) menjadi perhatian ketika ini terutama dalam kalangan ibu bapa.
Namun begitu, tidak semua pelajar berpeluang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kerana tempat yang ditawarkan buat pelajar lepasan SPM dan SPTM agak terhad.
Hal ini menjadikan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sebagai alternatif buat mereka. Namun, terdapat beberapa perkara yang merungsingkan seperti kualiti pendidikan dan kos membebankan di IPTS.
Bagi mengulas isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, Ghazali Alias mendapatkan pandangan Ketua Pegawai Eksekutif di Kolej Islam Antarabangsa (International Islamic College), Shaik Faridhudheen Anverdeen C.A. (M) berhubung isu berkenaan.
KOSMO! AHAD: Kebanyakan masyarakat di negara ini melihat kolej dan universiti swasta sebagai pilihan alternatif untuk melanjutkan pelajaran sekiranya tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Adakah kenyataan ini tepat?
SHAIK FARIDHUDHEEN: Saya bersetuju bahawa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) merupakan laluan alternatif buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) melanjutkan pengajian mereka di peringkat diploma atau sarjana muda.
Kita sedia maklum bahawa tawaran untuk ke IPTA amat terhad dan tidak semua calon berpeluang untuk menyambung pengajian di sana.
Kewujudan IPTS ini sebenarnya adalah sebagai pelengkap kepada IPTA bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam pelajaran dan bukan bertujuan untuk bersaing.
Dengan adanya kira-kira 390 IPTS di Malaysia dalam pelbagai kategori iaitu kolej sehingga universiti penuh swasta, jumlah kursus yang ditawarkan juga boleh dikatakan setara dengan IPTA.
Kosnya pula bergantung kepada institusi masing-masing kerana ia berkait dengan jenis program pengajian sama ada akademik atau kemahiran serta kemudahan lain yang ditawarkan.
Ketika ini terdapat terlalu banyak IPTS sehingga menyukarkan ibu bapa dan pelajar membuat pilihan. Sebagai seorang yang berpengalaman, apakah kriteria-kriteria yang perlu diambil kira oleh ibu bapa sebelum menghantar anak mereka ke IPTS?
Sebagai salah seorang dalam industri dan ibu bapa, memilih IPTS yang tepat untuk anak-anak sangat penting. Jika IPTA, tidak perlu diragukan tentang kualiti dan akreditasi yang sudah lengkap. Namun, hal ini perlu diteliti oleh ibu bapa sebelum membuat pilihan IPTS untuk anak-anak mereka.
Dengan jumlah IPTS sedia ada di negara ini, apa yang penting buat ibu bapa adalah memastikan institusi pendidikan tersebut berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT).
Kemudian, ibu bapa perlu menyemak akreditasi program pengajian ditawarkan. Ia boleh dilakukan menerusi laman web, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Setiap program perlu mendapat kelulusan daripada KPT dan MQA kerana penting untuk memastikan kredibiliti, integriti dan kompetensi sesebuah IPTS serta sijil pendidikan mereka.
Seterusnya, ibu bapa juga perlu menyemak keupayaan kewangan mereka dengan menilai kos yang dikenakan oleh IPTS untuk program pilihan anak mereka.
Seperti semua sedia maklum, terdapat beberapa IPTS yang diketahui memiliki kualiti seperti Taylor University dan Sunway University. Apakah yang membezakan institusi berkenaan dengan IPTS lain di negara ini?
IPTS mempunyai pelbagai kategori daripada kolej, kolej universiti, universiti penuh swasta dan cawangan dari luar negara.
Perbandingan ini harus dilakukan dari satu IPTS dengan yang lain dalam kategori sama.
Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri, tetapi apa yang perlu dilihat adalah kualiti program pengajian itu sendiri.
Ada yang mempunyai program berkualiti, namun kemudahan dan infrastruktur sederhana serta sebaliknya.
Perbezaan boleh dilihat sama ada pelajar mahu belajar di IPTS yang mempunyai kualiti pendidikan, kemudahan di institusi atau kedua-duanya sekali.
Daripada perbezaan itu, ia berkait dengan kos pengajian di setiap IPTS.
IPTS sering menjadi pilihan golongan yang berduit kerana kos pengajian di situ lebih tinggi berbanding di IPTA. Sekiranya ada anak golongan B40 yang ingin melajutkan pelajaran di IPTS, apakah kemudahan atau bantuan yang mereka boleh nikmati?
Walaupun IPTS dilihat menawarkan program pengajian dengan kos lebih tinggi berbanding IPTA, anak-anak daripada golongan B40 masih berpeluang melanjutkan pengajian di sana.
Bagi membantu dari segi kos, kita sedia maklum bahawa kerajaan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) telah menyediakan kemudahan pembiayaan untuk pelajar melanjutkan pengajian.
Malah, terdapat bantuan pendidikan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi seperti Baitulmal yang boleh dipohon untuk mengurangkan beban kos pengajian.
Sebahagian IPTS juga ada menawarkan saluran bantuan dan biasiswa yang boleh dipohon oleh pelajar untuk sebahagian kos.
Malah, ada IPTS menawarkan pengajian dengan yuran berpatutan yang tidak membebankan pelajar dengan kadar pinjaman mereka.
Sebelum ini, ada pihak mendakwa banyak IPTS hanya berorientasikan keuntungan tanpa memikirkan masa depan pelajar. Adakah tuan bersetuju dengan kenyataan negatif seperti itu?
Tidak dinafikan, IPTS tidak lari daripada stigma perniagaan. Namun sebagai sebuah badan swasta, hal itu sememangnya berkait antara satu sama lain.
Ada kebaikan dan keburukan dalam hal ini. Sebagai sebuah institusi yang berdiri sendiri, pusingan kos amat penting untuk memastikan ia dapat terus beroperasi. Semuanya bergantung kepada IPTS itu sendiri.
Seperti saya maklumkan sebelum ini, kos untuk pengajian bergantung kepada program dan kemudahan yang ditawarkan.
Terdapat juga IPTS yang beroperasi berlandaskan fardu kifayah dengan misi untuk memastikan pelajar berpeluang melanjutkan pengajian dan menawarkan yuran berpatutan.
Ada IPTS tidak mementingkan kelayakan kemasukan. Justeru, tidak hairanlah ada IPTS yang mengupah ejen untuk mencari pelajar dengan upah tertentu. Adakah perkara ini dibolehkan untuk mengisi kekosongan tempat di IPTS?
Kelayakan untuk pelajar memasuki IPTS sebenarnya sama dengan IPTA. Hal ini juga dikawal selia oleh KPTM dan MQA.
Di peringkat IPTS juga, kami perlu menghantar laporan di dalam sistem kepada pihak KPTM dan MQA berhubung kelayakan permohonan pelajar SPM serta STPM.
Memang dalam setiap program di IPTS ada kelayakan minimum tersendiri daripada tiga kredit SPM atau kelayakan khusus buat program tertentu. IPTS tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil pelajar dan hal itu tidak boleh dilakukan oleh ejen pemasaran mereka yang berdaftar.
Tindakan tegas termasuk penarikan lesen juga boleh dikenakan kepada IPTS yang mengambil pelajar tanpa kelayakan minimum.
Khidmat ejen ini juga adalah terhad kepada mempromosi dan mengisi permohonan untuk memasuki IPTS. Malah, mereka tidak boleh mengambil apa-apa yuran atau mengeluarkan surat tawaran.
Pada masa kini dengan adanya media sosial, IPTS sudah kurang menggunakan khidmat ejen.
Sejak kebelakangan ini, semakin banyak kolej yang dinaik taraf menjadi universiti. Adakah perubahan status ini hanya bersifat ‘branding’ bagi menarik kemasukan pelajar atau ia memang layak mendapat taraf berkenaan?
Bagi sesebuah IPTS, menaikkan taraf institusi mereka perlu mematuhi garis panduan yang telah diberikan oleh KPTM.
Sama ada kolej ke kolej universiti dan ke universiti penuh, setiap IPTS akan dinilai dengan kriteria seperti keupayaan kos operasi, tenaga pengajar berkelayakan dan sebagainya yang telah ditetapkan sebelum dinaik taraf status.
Soal status ini bukanlah semata-mata untuk penjenamaan. Tetapi ia adalah usaha IPTS itu sendiri untuk membolehkan mereka mempelbagaikan pengajian di peringkat lebih tinggi.
Sebagai contoh, kolej universiti boleh menawarkan pengajian ijazah sendiri, manakala universiti penuh boleh menawarkan pengajian sarjana dan ke atas.
















