fbpx
CIKGU ZAZAH telah mengajar ribuan orang menguasai bahasa Mandarin dengan lebih baik.

Cikgu Zazah pencinta bahasa Mandarin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGSUNG tidak memiliki darah kacukan Cina, namun bakat dan penguasaan bahasa Mandarin anak Melayu ini cukup luar biasa.

Mempunyai pengikut lebih daripada 326,000 di platform TikTok, siapa sangka wanita kelahiran Skudai, Johor ini membuktikan dirinya mampu mengajar bahasa ‘asing’ tersebut kepada ramai orang.

Lebih membanggakan, sepanjang kariernya dalam pendidikan bahasa sejak sedekad lalu, dia pernah mendapat pengiktirafan daripada sebuah universiti di China yang membolehkannya mengajar bahasa Mandarin di seluruh dunia.

Faiezah Ahmad Fauzi atau lebih dikenali sebagai Cikgu Zazah telah dianugerahi gelaran Guru Kanan Bahasa Cina daripada Beijing Language Culture University selepas berjaya menamatkan Program Guru Bahasa Cina Antarabangsa pada 2018.

Sebahagian besar peserta program tersebut merupakan guru bahasa Mandarin dari China, Taiwan, Singapura selain wakil bangsa Cina dari Malaysia.

Penulis berkesempatan menemu bual Cikgu Zazah secara dalam talian memandangkan dia tinggal jauh di Johor.

Menurut Cikgu Zazah, dia tidak meletakkan kejayaannya itu sebagai satu kebanggaan dalam diri.

Katanya, sehingga hari ini, dia masih belajar bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Mandarin, meskipun telah berkongsi ilmu dengan ribuan pelajar sejak berkhidmat sebagai guru.

“Jika diimbas semula, kelas rasmi pertama saya membabitkan tiga penuntut dewasa pada hujung tahun 2014.

“Mereka adalah ibu bapa kepada murid Melayu yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Sejak itu, ramai ibu bapa dan individu pelbagai latar belakang membuat permohonan belajar bahasa Mandarin.

“Pada 2015, saya mulakan kelas secara sepenuh masa,” katanya kepada Aura.

Ditanya titik tolak kepada cintanya terhadap bahasa Mandarin dan memilih profesion guru, Cikgu Zazah berkata, dia mula belajar bahasa tersebut sejak berusia tiga tahun di sebuah tadika Cina.

Ujarnya, tamat tadika, dia dihantar pula ke SJKC sampai darjah enam.

“Habis darjah enam, keluarga mahu saya sambung ke Sekolah Menengah Tinggi Foon Yew (sekolah swasta) dan syarat untuk masuk ke sana mestilah lulus peperiksaan khas.

“Alhamdulillah, saya lulus dan dibenarkan mendaftar masuk ke sekolah tersebut sampailah tamat persekolahan di tingkatan enam.

“Di sekolah, semua subjek saya belajar dalam bahasa Mandarin termasuk menulis sajak.

“Hanya subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu bukan dalam Mandarin,” katanya.

Ujar ibu kepada dua cahaya mata itu, dia sudah terbiasa sejak dari kecil berkawan dengan individu berbangsa Cina dan mengakui tidak ramai kawan Melayu.

“Tujuan bapa hantar saya bersekolah di situ sejak kecil supaya saya memiliki peluang besar ketika berurusan dengan orang Cina dalam bidang bisnes.

“Bapa pernah cakap dulu, nanti mudah dia nak buat bisnes dan tak perlu upah jurubahasa,” katanya sambil ketawa.

Berkongsi lanjut, selepas tamat persekolahan, dia kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampar, Perak dalam jurusan Psikologi.

Katanya, 95 peratus pelajar UTAR berbangsa Cina dan bahasa komunikasi mereka adalah Mandarin.

“Rakan serumah saya pun Cina dan bahasa komunikasi kami memang dalam bahasa Mandarin.

“Tamat belajar, saya dapat kerja dalam bidang kaunselor pendidikan untuk bantu anak-anak mempunyai masalah pendidikan.

“Ia tidak bertahan lama, saya sempat berkhidmat setahun lebih di situ sebelum menjadi pengetua dua buah sekolah tadika Cina di Pasir Gudang, Johor selama enam bulan,” katanya.

Akui Cikgu Zazah, dia mula mengajar bahasa Mandarin ketika menjadi pengetua di sekolah tersebut.

“Jujur, kalau ikutkan memang tak pernah mahu jadi cikgu bahasa kerana mahu jadi kaunselor.

“Di tadika tersebut, banyak anak Melayu yang bersekolah di situ.

“Rata-rata mereka ada masalah membaca dan menulis bahasa Mandarin, walaupun sudah darjah lima dan enam.

“Bayangkan, hendak tulis karangan dan bina ayat pun tak pandai. Jadi, saya terpanggil untuk bantu anak-anak Melayu yang bersekolah di situ terlebih dahulu.

“Sejak itulah saya gunakan kemahiran yang ada untuk bantu mereka dalam dua mata pelajaran iaitu Matematik dan Bahasa Cina.

“Tanpa berfikir panjang, saya bantu mereka dalam perkara asas seperti membaca dan mengenal huruf,” katanya.

CIKGU ZAZAH (tengah) dijemput sebagai salah seorang tetamu dalam persidangan berkenaan bahasa Mandarin di China baru-baru ini.

Sejak itu, dia mendapat permintaan daripada ibu bapa untuk membuka kelas tuisyen bagi murid sekolah rendah cina.

Kelas tuisyen pertamanya telah dihadiri oleh 45 murid.

Lama-kelamaan, dia mula sedar bahawa permintaan untuk mengajar bahasa Mandarin kepada murid sekolah lebih banyak.

Maka, dia mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai pengetua di tadika untuk memberi fokus kepada kelas tuisyen.

“Daripada mengajar murid sekolah rendah, saya mula berkongsi ilmu dan mengajar golongan dewasa sampailah ke hari ini.

“Cumanya apa yang saya nak katakan, sepanjang berkongsi video mengenai ilmu bahasa sejak 2015 dari Facebook hingga ke TikTok, saya tak pernah anggap diri sebagai pempengaruh.

“Cukuplah anggap saya sebagai guru yang mengajar mereka yang berminat mempelajari bahasa Mandarin dan berkongsi manfaatnya kepada ramai,” ujarnya.

Berkongsi cabaran sepanjang hampir sedekad dalam dunia bahasa, Cikgu Zazah mengakui, halangan itu ada, tetapi dia enggan ambil pusing kerana tahu niat asalnya melakukan perkara tersebut.

“Pernah juga ada orang tegur saya masa live mengajar: “Awak Melayu bertudung, kenapa nak agungkan bahasa bangsa lain?”

“Tidak setakat itu, ada juga yang suruh pergi mengaji al-Quran daripada mengajar Mandarin.

“Suami saya yang memang ustaz, dia tak pernah berkata demikian kerana tahu niat saya melakukannya.

“Sampai satu tahap, ada juga yang hantar gambar bukan-bukan kepada saya.

“Kadang-kadang saya tak tahan kena tegur masa live, saya ambil keputusan block (sekat) sahaja orang yang tiada adab itu,” luahnya.

Baginya, semua orang perlu berebut untuk mencari dan menambah ilmu, bukannya menolak ilmu.

Biarpun niat murninya telah disalah erti, namun ia tidak langsung mematahkan semangatnya untuk terus mengajar.

Ini kerana, dia mahu setiap individu dalam masyarakat berkawan dengan semua kaum dan berkongsi manfaat ilmu yang dipelajari.

Di akhir bicara, Cikgu Zazah berkata, untuk tempoh lima ke 10 tahun akan datang, dia tetap akan berkongsi ilmu dan video berkenaan bahasa Mandarin.

Ujarnya, dia juga merancang menambah koleksi buku dengan mengeluarkan dua naskhah setahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN