fbpx
TIDAK pernah meninggalkan Drama Band dan baru sahaja melancarkan album pada Mac lalu yang mengandungi 21 lagu.

‘Kemenangan ini hadir dengan tanggungjawab baharu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA tak mahu asyik pegang trofi, selain berat, risau orang cakap riak pula.”

Itu antara ayat yang meniti di bibir juara The Hardest Singing Show (THSS) musim pertama, Aepul Roza selepas berakhir konsert final program tersebut Ahad lalu.

Meletakkan trofi berwarna emas itu di sisinya, Aepul menzahirkan rasa bangga terhadap kemampuan diri dan seluruh pasukannya yang mampu bertahan sehingga ke pentas final.

Mengimbau semula persembahan pada Ahad lalu, hanya Aepul yang mendapat ‘standing ovation’ daripada para penonton selepas membuat kejutan dengan bermain dram dalam keadaan condong 90 darjah. Bikin darah tinggi penonton meledak!

Namun, itulah elemen ‘wow’ yang melayakkan Aepul bergelar juara sekali gus menewaskan lima peserta lain iaitu Ayda Jebat, Stacy, Aisha Retno, Putera Muhammad dan Zizi Kirana.

Kemenangan ‘kita’

Hilang kata-kata untuk menggambarkan perasaan, Aepul memberitahu kejuaraan tersebut bukan secara solo tetapi untuk ‘kita’ iaitu pasukannya yang sudah berhempas pulas selama 10 minggu memerah otak mendapatkan idea ‘gila’ untuk dipersembahkan kepada penonton.

“Alhamdulillah ini rezeki yang Allah beri. Saya faham bahawa kemenangan tersebut hadir dengan tanggungjawab sebenarnya.

“Kalau ditanya sejuta kali pun, kejayaan ini bukan datang daripada saya sahaja tetapi seluruh pasukan. Saya hanya sebagai pelaku tetapi mereka yang merancang dan merealisasikannya.

“Jadi, ini adalah kemenangan untuk ‘kita’, bukan saya seorang,” kata pemilik nama penuh Noor Syaiful Mohd. Zalaludin kepada HibGlam baru-baru ini.

SEPANJANG 10 minggu bertanding, Aepul mengakui tidak cukup rehat dan tidur.

Paling mencuri perhatian pastinya ketika memberitahu tidak pernah bertuah atau bergelar juara dalam mana-mana pertandingan yang disertai sebelum ini waima cabutan bertuah sekali pun.

Kedengaran lucu bagi segelintir individu tetapi kejuaraan tersebut sememangnya mengubah persepsi Aepul tentang definisi ‘tuah’ selain membuka mata lebih banyak pihak tentang kehebatannya sebagai seorang penghibur.

“Terima kasih kepada Astro sebab beri ruang dan peluang ini. Saya rasa ‘culture shock’ (kejutan budaya).

“Manakan tidak, menang cabutan bertuah pun saya tak pernah apatah lagi bergelar juara pertandingan sebesar ini. Apa pun alhamdulillah rezeki Tuhan,” tuturnya yang membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 dan trofi.

Ditanya sama ada kemenangan tersebut sudah dijangka, vokalis kumpulan Drama Band itu tidak pernah ‘berangan’ meletakkan dirinya di posisi tersebut sebaliknya hanya memberi persembahan sehabis baik termasuk pada konsert final lalu.

“Jangka atau tidak, perkara itu bukan lagi dalam kepala saya ketika ini tetapi lebih kepada reda.

JIKA bukan dirinya, Aepul menjangkakan posisi juara layak diisi oleh Ayda (tengah kiri) yang memberi persembahan ‘grand’ setiap minggu.

“Kalau bukan juara sekali pun, saya sudah puas. Sebab semua layak jadi juara, kehebatan peserta lain memang tiada tandingan,” katanya yang berpendapat Ayda Jebat juga layak bergelar juara.

Gemuruh

Berkongsi perkara yang paling dirindui selepas 10 minggu berkampung di Pusat Konvensyen CIDB, penyanyi berusia 36 tahun itu memberitahu perasaan gemuruh kembali ‘menghantui’ diri sejak menerima tawaran THSS.

Katanya, sebelum ini dia tidak lagi rasa gemuruh sebelum membuat persembahan secara solo mahupun berkumpulan kerana merasakan pentas rumah keduanya.

“Sudah berbelas tahun saya buat persembahan pentas, tiada lagi rasa gemuruh tetapi apabila menyertai THSS, rasa itu kembali menyelubungi diri.

“Sebelum THSS, perasaan gemuruh itu tidak wujud dalam diri pun sebab merasakan pentas adalah rumah.

“Paling saya rindu adalah perasaan gemuruh sebelum persembahan dan suasana positif yang diberikan seluruh pasukan termasuk peserta lain sebab kami sudah seperti sebuah keluarga,” katanya lagi.

Cedera

Tidak terkecuali daripada mengalami kecederaan, dia berkata itu perkara normal yang dilalui semua peserta bertanding.

“Kalau nak cakap pasal sakit atau cedera, semua peserta alami situasi sama tetapi itu bukan penghalang untuk terus berjuang.

“Sakit belakang masih belum hilang sejak minggu pertama. Lutut saya juga pernah ‘dislocate’ ketika aksi bersilat untuk persembahan lagu Mentera Semerah Padi.

“Sepanjang pertandingan, memang banyak beri tekanan pada bahagian kaki. Sekarang ini pun buku lali sakit di tambah pula pernah cedera sebelum ini sebab bersukan,” kongsinya.

Menjawab sama ada akan melakukan pelbagai aksi dalam THSS untuk persembahan lain selepas ini, responnya negatif.

TURUT tidak terlepas daripada mengalami kecederaan, Aepul memberitahu setiap persembahan dan aksi dilakukan memberi banyak tekanan pada bahagian kaki. – FIRDAUS JOHARI/ihsan ASTRO

Namun Aepul menegaskan dia dan Drama Band sebelum ini sering sahaja muncul dengan persembahan yang mempunyai elemen sama tetapi lebih bermesej.

“Saya tidak akan lakukan konsep yang dilakukan di THSS untuk persembahan Drama Band.

“Ya, setiap persembahan memang harus ada tujuan tetapi perlulah berpada-pada. Saya tak akan semata-mata lakukan sesuatu hanya sekadar nak popular, bukan kami.

“Namun, kalau anda kenal Drama Band, kami memang sentiasa akan tampil dengan persembahan yang ‘berisiko’.

“Saya sentiasa pegang prinsip kerja sebagai anak seni, perlu memberi sesuatu impak kepada masyarakat dan bukan semata-mata mencari duit,” ujarnya mengakhiri bicara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN