NARATHIWAT, THAILAND – Bekalan gula dan minyak masak yang merupakan barang kawalan di Malaysia dikesan masih dijual secara terbuka di pasaran kedai runcit dan nat (pasar sehari) di wilayah Selatan Thailand, di sini.
Meskipun kerajaan Malaysia melakukan pelbagai pendekatan termasuk kawalan rapi di pintu sempadan, namun barangan tersebut masih dijual di pasaran.
Seorang peniaga, Esah Mat Rofi, 55, berkata, gula dan minyak masak dari Malaysia sudah sebati dengan masyarakat di sini sejak berpuluh tahun lalu.
Katanya, dia sentiasa mendapat bekalan gula dan minyak masak daripada pemborong di kawasan sempadan iaitu Rantau Panjang dan Bukit Bunga, Jeli di Kelantan.
“Penduduk di sini suka menggunakan minyak masak dan gula dari Malaysia kerana harganya yang murah dan lebih sedap digunakan dalam masakan.
“Harga sekilogram minyak masak peket dari Malaysia saya jual ketika ini ialah 39 bath atau RM5.03 dan gula pula 28 bath (RM3.61),” katanya.
Seorang penduduk Waeng, Mae Husin, 55, berkata, keluarganya menggunakan gula dan minyak masak Malaysia dalam makanan sejak lebih 30 tahun lalu.
Katanya, harga minyak kelapa sawit botol keluaran Thailand mahal dan pernah mencecah 80 bath (RM10.32).
“Bekalan gula dan minyak dari Malaysia tidak pernah terputus dan senang didapati termasuk di kedai runcit dan nat.
“Bekalan itu tidak pernah terputus dan kebanyakan penjual meletakkannya bersama barang jualan mereka,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Isa Ibrahim, 49, berkata, keluarganya juga memilih gula dan minyak masak peket keluaran Malaysia untuk digunakan dalam masakan.
“Penguatkuasaan di kawasan sempadan hanya dilakukan pihak berkuasa secara berkala.
“Tiada had pembelian gula atau minyak masak Malaysia di sini. Setakat ini kami tidak hadapi masalah kekurangan gula atau minyak masak kerana bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.














