fbpx
Gambar hiasan

Lima tahun kahwin, RM50,000 lesap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – “Bekas suami saya kontraktor dan dia beberapa kali meminjam wang daripada saya yang kesemuanya berjumlah lebih RM50,000, tetapi selepas bercerai, dia tidak mahu membayar semula hutang itu, rasa macam kena scam.”

Itu kata seorang penjawat awam dikenali sebagai Erin, 45, yang tertekan apabila bekas suaminya enggan membayar semula wang yang dipinjam sepanjang lima tahun perkahwinan mereka.

Kata Erin, ini merupakan perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan suami terdahulu.

“Habis kesemua wang simpanan saya diberi pinjam kepada bekas suami atas dasar kasih sayang dan kepercayaan. Dia be­ritahu dia mahu buat mo­dal untuk projek perumahan dan tanpa berfikir panjang, saya keluarkan wang simpanan.

“Pada masa itu, memang saya tidak fikir apa-apa kerana dia suami saya dan hanya berharap dia dapat menggunakan modal itu dengan sebaik­nya demi masa depan kami,” katanya kepada Kosmo!.

Erin memberitahu, tidak sampai lima tahun berkahwin, perkahwinan mereka bermasalah apabila lelaki itu mengabaikan makan minumnya dan membiarkannya menanggung perbelanjaan rumah sendirian.

“Selepas bercerai, saya tuntut balik hutang, tetapi dia enggan bayar semula dengan alasan tiada duit. Itulah alasan yang sering digunakannya.

“Habis semua wang simpanan saya diberikan kepadanya dan perkara itu saya rahsiakan daripada ahli keluarga,” ujarnya yang memiliki dua anak hasil perkahwinan pertama.

Menurutnya, dia membuat keputusan untuk merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan keluarga kerana malu.

“Mak dan ayah sememangnya tidak bersetuju dengan perkahwinan kami sebelum ini kerana perbezaan usia yang ketara iaitu 10 tahun,” katanya.

Tambahnya, dia sekarang telah berkahwin semula dengan bekas suami perkahwinan pertama dan hutang tersebut juga masih menjadi rahsianya.

Katanya, dia tidak akan membuat tuntutan di Mahkamah Syariah bagi mengelak suami dan keluarga mengetahui perkara tersebut.

“Namun, saya tidak akan halalkan hutang itu dan akan terus menuntut hutang walaupun te­lah bercerai lebih setahun lalu,” tegasnya.

Muka depan Kosmo! semalam melaporkan, ramai wanita hidup sengsara apabila terpaksa menanggung hutang sehingga mencecah ratusan ribu ringgit yang ditinggalkan bekas suami selepas mereka bercerai gara-gara si lelaki kahwin lain.

Peguam Syarie dari Firma Irsamuddin Fitri & Associates, Irsamuddin Ikhsan dilaporkan berkata, kebanyakan hutang adalah pinjaman peribadi yang dibuat isteri untuk suami selain si lelaki meminjam duit isteri dan kemudian membayarnya secara ansuran.

Bagaimanapun, selepas bercerai, si lelaki ‘cabut lari’ dan enggan melunaskan hutang itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN