KEWUJUDAN makhluk halus seperti jin yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar sering menjadi misteri dalam kehidupan kita.
Bagi komuniti pedalaman, mereka sering dimomokkan dengan keberadaan lokasi yang menjadi kampung makhluk halus atau bunian.
Kisah mitos kali ini diceritakan oleh seorang bekas pemotong rumput, Azmi Dollah, 65, yang melawat anaknya di Banting, Selangor baru-baru ini.
Azmi berkata, sebelum mengalami satu kejadian pelik melibatkan bunian, dia tidak percaya langsung dengan kewujudan makhluk tersebut.
“Semasa bekerja sebagai pemotong rumput, terserempak dengan haiwan berbisa seperti ular tedung dan ular sawa sudah menjadi perkara biasa. Namun penampakan makhluk seperti hantu, jin dan bunian memang tidak pernah saya alami,” katanya.
Azmi berkata, peristiwa yang dialami kira-kira 25 tahun lepas di kampungnya di Perak membuatkan dia yakin bahawa makhluk Allah SWT melata di atas Bumi ini.
Katanya lagi, kejadian misteri yang dialaminya itu berlaku sewaktu hujan lebat selepas solat maghrib.
“Sebelum kejadian yang menyeramkan itu berlaku, kawasan hutan di sebelah belakang rumah saya sedang dibangunkan beberapa buah banglo,” katanya.
Jelas Azmi lagi, sebelum projek banglo itu bermula, lokasi rumahnya paling hampir dengan hutan tersebut.
Ujarnya, dia berasa gembira kerana tidak perlu bimbang dengan kehadiran haiwan seperti babi hutan dan ular sawa yang mengintai ayam di rebannya.
“Kejadian pelik berlaku pada hari pertama jentolak memulakan kerja meratakan pokok-pokok dan tanah untuk dijadikan tapak rumah agam tersebut.
“Hari itu, hujan yang bermula pukul 5 petang semakin lebat.
“Berdentam-dentum bunyi atap tersebut berlaga dengan air hujan. Tiba-tiba, selepas solat maghrib, isteri saya yang berada di dapur memberitahu dia terdengar ada ramai orang di luar rumah.
“Saya membuka tingkap cermin di tepi rumah, tetapi tiada sebarang kelibat. Isteri saya pun turut melihat dan dia pun tidak nampak apa-apa objek yang bergerak,” ujarnya.
Namun katanya, sejurus menutup cermin tingkap, telinganya jelas mendengar bunyi riuh-rendah seperti orang ramai membawa periuk dan kuali.
Bunyi tersebut semakin jelas kedengaran kerana hujan tidak lagi lebat seperti sebelumnya.
“Oleh kerana tidak mahu melihat makhluk-makhluk pelik itu, saya enggan mengintai dari celah pintu atau tingkap.
“Kejadian yang amat menyeramkan itu berlaku hampir sejam. Lebih menakutkan, suara yang kedengaran bercampur-baur antara lelaki dewasa, wanita dan kanak-kanak menangis sayu,” katanya.
Ujarnya, dia juga terdengar satu suara garau lelaki tua yang bertindak seperti ketua asyik marah-marah.
“Pada waktu itu, baru saya teringat dengan kata-kata abang saudara yang selalu bercerita dia sering mendengar ayam berkokok di kawasan hutan tersebut. Katanya, orang bunian yang pelihara.
Mengulas lanjut Azmi berkata, terdetik di hatinya kejadian seram malam itu berkait rapat dengan masyarakat bunian.
Ujar Azmi lagi, sejam selepas bunyi riuh-rendah itu muncul, ia terus senyap secara tiba-tiba.
Apa yang tinggal kata Azmi, hanyalah bunyi titik-titik air hujan yang menitis di atap zink.
“Anak-anak saya seramai empat orang ketika itu berusia antara 10 hingga 15 tahun terkedu kerana ketakutan,” katanya.
Keesokan harinya, dia dan keluarga melihat laluan tanah di tepi rumahnya dipercayai kesan laluan ‘rombongan’ misteri tersebut.
Azmi yang terdiam sejenak berkata, tiada kesan tapak kaki atau kenderaan di jalan tanah merah tersebut seolah-olah tiada apa pergerakan besar-besaran berlaku.
“Namun, apa yang mengejutkan kawasan hutan yang baru sedikit diratakan jentolak itu terdapat kesan dedaunan dan pokok yang tumbang sendiri.
“Saya percaya itu kesan pergerakan makhluk-makhluk tersebut.
“Apabila pemandu jentolak dan jengkaut datang bertugas pada pagi berkenaan, mereka terkejut melihat kawasan hutan seperti sudah diinjak sekawan gajah,” katanya.














