ISU lambakan penyanyi antarabangsa mengadakan konsert di negara ini semakin ketara selepas berakhirnya fasa pandemik Covid-19 kira-kira tiga tahun lalu.
Fenomena itu dapat dilihat menerusi kalendar persembahan mega sepanjang 2023 hingga tahun ini yang rata-rata menunjukkan graf peningkatan kemasukan penghibur luar.
Tolak ke tepi konsert solo, acara festival muzik anjuran syarikat tempatan mahupun agensi luar yang mempunyai cawangan di Malaysia kerap menyelitkan penyanyi bukan lokal.
Antara alasan yang diberikan adalah bagi menarik penonton selain menyajikan kepelbagaian sekali gus menjadi ‘magnet’ agar lebih ramai peminat industri muzik serantau khususnya dari Indonesia.
Tidak hairan apabila kebanyakan fiesta yang menyenaraikan ramai penyanyi dan band tempatan pasti disertakan beberapa artis dari negara seberang.
Bukan mempersoalkan rezeki penggiat industri hiburan luar, cuma jika menyemak semula festival muzik di negara mereka, banyak penganjur lebih mengutamakan artis mereka sendiri.
Jumlah penduduk Indonesia sendiri pada 2024 mencecah 281 juta orang sekali gus menunjukkan peratusan penggiat seni mereka juga tinggi berbanding negara kita.
Atas dasar mendahulukan karyawan lokal, pengelola acara membabitkan ramai penyanyi dan band pemuzik tidak mengundang orang luar kecuali persembahan terbuka bertaraf antarabangsa.
Tiada salahnya pihak berkenaan mengutamakan pemuzik mereka sendiri, malah penganjur festival di Malaysia juga wajar mengikuti langkah sama demi mengangkat bakat tempatan.
Kesungguhan tersebut ditunjukkan penganjur Festival Muzik Atas Angin, Arif Imran yang berpengalaman mengelolakan dua fiesta gergasi serta ‘gig’ sejak enam tahun lalu dengan hanya membariskan anak tempatan.
Menurutnya, tanpa nama artis luar dalam penganjuran pada 2023, acara membabitkan 70 penyanyi solo dan kumpulan termasuk band indie itu meraih sambutan luar biasa.
Sokongan padu tidak berbelah bagi sehingga edisi tahun ini pada 3 Ogos nanti ditambah kepada 101 penghibur sekali gus membuktikan khalayak juga menghargai bakat penggiat seni negara.
“Festival Atas Angin bertujuan untuk mengangkat nama dan artis tempatan di Malaysia yang tidak kurang hebat dan berpotensi besar.
“Kita sepatutnya mendahulukan dan membuka ruang kepada pemuzik lokal terutama band indie yang memperjuangkan genre kesukaan mereka tanpa lelah.
“Jika bukan kita sendiri yang mengetengah mereka dengan menyediakan platform gergasi menerusi festival seperti ini, siapa lagi? Kita wajar berbangga dengan produk lokal,” ujarnya.
Besar harapan penulis agar lebih banyak syarikat pengelola acara festival muzik seumpama ini mengikut jejak langkah Atas Angin yang juga sebagai tanda sokongan terhadap perkembangan industri muzik tanah air.














