fbpx
Pertunjukan fesyen AEON Fashion Preview atau AFP yang menghimpunkan rekaan pereka Jepun, Singapura dan Indonesia diadakan di AEON Cheras Selatan baru-baru ini.

Pentas peragaan pamer rekaan pereka Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI meraikan fesyen inklusif, syarikat peruncit terkenal, AEON yang juga terkenal dengan pertunjukan fesyen dikenali sebagai AEON Fashion Preview atau AFP baru-baru ini mengadakan satu pertunjukan fesyen, yang menggabungkan rekaan pereka berbakat dari Jepun, Singapura dan Indonesia.

Bagi tahun ini, AFP diadakan bertempat di AEON Cheras Selatan, Selangor.

Bersesuaian dengan tema pertunjukan fesyen yang unik, pertunjukan fesyen kali ini diadakan di aisle atau laluan bahagian sayur dan buah-buahan pasar raya tersebut, sebagai menggabungkan gaya dengan rutin harian membeli-belah.

Suasana unik itu mencipta pengalaman istimewa untuk semua yang hadir, menambahkan sentuhan keberanian dan inovasi yang sentiasa menjadi ciri khas AEON.

Bagi edisi kali ini, antara rekaan yang menarik perhatian adalah rekaan dari pereka fesyen Jepun iaitu Michiko Ohashi.

Menerusi koleksi yang pertama kali diperkenalkan di pentas peragaan Malaysia itu, Ohashi memperkenalkan koleksi rekaan busana plus size yang selesa dan sesuai buat gaya harian.

Ohashi yang mula dikenali selepas kerjasamanya bersama kumpulan pop-idol plus size Jepun, Big Angel berhasrat untuk mempromosikan nilai body-positivity dan mengubah standard kecantikan tradisional.

Rekaan Ohashi bersifat santai dengan penggunaan palet rona tanah seperti hitam, putih dan juga hijau sebagai warna utama bagi koleksinya.

Bagi pereka dari Singapura, Leonard Cheong pula, dia amat menghargai peluang yang diberikan AEON untuk memperkenalkan busana rekaannya menerusi jenama Finix.

“Finix menampilkan koleksi pakaian berkonsepkan form, fit dan flow yang muncul di tengah-tengah pandemik Covid-19.

“Ketika itu, kita semua terpaksa bekerja dari rumah dan saya mengasaskan busana yang bersifat selesa, berfungsi dan versatil yang boleh digayakan sama ada untuk bekerja, mahupun gaya hidup seperti bersenam atau melancong.

Antara rekaan dengan warna terang dengan reka corak menyerlah yang diperagakan.

“Pakaian kami juga bersifat uniseks yang mana kebanyakan daripada koleksi ini boleh digayakan oleh lelaki mahupun wanita,” katanya.

Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON, Low Ngai Yuen berkata, selain memacu gaya hidup dan juga gaya inklusif dalam berfesyen, rangkaian AEON Select juga banyak mengambil inspirasi daripada anime.

“Menerusi pelancaran siri pakaian ini, kami percaya bahawa ia boleh menjadi medium yang hebat untuk mengekspresi diri serta membolehkan individu untuk mempamerkan cita rasa dan personaliti unik mereka.

“Dengan menggayakan pakaian diinspirasikan daripada anime, peminat boleh meraikan karakter kegemaran mereka, sekali gus mengubah pakaian harian mereka menjadi kanvas untuk menterjemah identiti dan kreativiti tersendiri,” katanya.

Dalam pertunjukan fesyen itu juga, AEON turut melancarkan previu bagi rangkaian pakaian sukan untuk kanak-kanak di bawah label JKids Sports dan juga pakaian sukan buat dewasa iaitu Appetite.

Ujar Ngai Yuen, label Appetite merupakan rangkaian pakaian yang didedikasikan untuk memperkasa gaya hidup aktif.

“Gaya hidup aktif adalah penting untuk kesejahteraan kedua-dua golongan sama ada golongan muda mahupun tua, bagi memupuk kesihatan, kecergasan dan semangat kemasyarakatan merentas generasi,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN