MELAKA – Penolong Naib Canselor, Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, Prof. Datuk Dr. Mizan Hitam, 59, menerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq sebagai Tokoh Maal Hijrah 1446 Hijrah Peringkat Negeri Melaka.
Turut menerima ialah pendakwah dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad, 47, yang menerima Anugerah Murabbi Nusantara iaitu anugerah yang julung kali diperkenalkan kerajaan negeri tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menyampaikan anugerah itu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446 Hijrah Peringkat Negeri Melaka yang diadakan di Stadium Hang Jebat di sini, malam tadi dengan dihadiri kira-kira 50,000 orang.
Mizan anak kelahiran Kampung Padang Temu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Temu dan Sekolah Tinggi Melaka.
Beliau melanjutkan pelajaran ke University Oh Southwestern Louisiana, Amerika Syarikat pada 1984, Ohio State University Columbus (1987) dan University Of Newcastle Upon Tyne United Kingdom (1994).
Bekas Rektor UiTM Melaka Kampus Alor Gajah dan Jasin dari 2007 hingga 2017 itu berkata, beliau terharu dan bersyukur apabila diberi penghormatan oleh kerajaan negeri sebagai Tokoh Maal Hijrah tahun ini.
Kejayaan itu membolehkan Mizan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, pingat, selempang dan sijil manakala Abdul Somad menerima tanjak dan sijil. – KOSMO! ONLINE