TANAH MERAH – Dua lelaki tidak sempat mengaut keuntungan hasil jualan sebanyak 2,074 batang anak pokok hiasan pelbagai spesies dari Thailand bernilai RM14,490 selepas mereka dicekup di tebing Sungai Golok, dekat sini hari ini.
Kedua-dua lelaki berusia 24 dan 25 tahun itu ditahan semasa mereka sedang mengangkut kesemua anak pokok berkenaan ke dalam sebuah lori jenis Hino 500 kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, pasukan beroperasi pada awalnya mengesan kegiatan yang mencurigakan semasa menjalankan rondaan berhampiran tebing Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand.
Menurutnya, anggota tentera mendapati dua lelaki sedang mengangkut anak pokok dari Thailand dalam kuantiti yang banyak ke dalam sebuah lori.
“Kedua-dua lelaki itu merupakan warga tempatan selepas tangkapan dijalankan ke atas mereka.
“Pemeriksaan di dalam lori itu menjumpai pelbagai spesies anak pokok iaitu pokok buluh manis, sayak naga, keladi, bayan king, mutiara mas, urai mas, zamrud, pilo hijau, siam mon, mutiara adman, botani, kancana, janggut naga, orkid tanah, rumput mas dan bidara yang bernilai RM14,490,” katanya.

Menurut kenyataan itu, selain itu, sebuah lori yang digunakan oleh mereka untuk mengangkut kesemua anak pokok tersebut turut dirampas.
Katanya, anak-anak pokok dan lori itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Angkatan Tentera Malaysia sentiasa mengawal sempadan negara dan memastikan keselamatan sempadan negara terpelihara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE