fbpx
PARA pemain Colombia meraikan kejayaan melangkah ke separuh akhir selepas membelasah Panama 5-0 hari ini. - AFP

Copa America: Colombia berpesta lanyak Panama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARIZONA – Pengendali Colombia, Nestor Lorenzo menyifatkan kekuatan berpasukan adalah kunci utama pasukannya berjaya menempah slot separuh akhir Copa America 2024 selepas membelasah Panama 5-0 pada aksi suku akhir di Stadium State Farm semalam.

Menariknya, kemenangan itu menyaksikan Colombia kini merekodkan 27 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan kompetitif sejak tewas 0-1 kepada Argentina sewaktu kelayakan Piala Dunia 2026 pada Februari tahun lalu.

“Semua 11 pemain yang memulakan perlawanan di atas padang telah memberikan segala-galanya buat rakan sepasukan mereka yang berada di bangku simpanan. Sikap inilah sebenarnya memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan.

“Saya dan barisan kejurulatihan yang lain berpuas hati kerana mereka bersaing secara sihat dan inilah hasilnya. Keputusan yang membanggakan buat pasukan.

“Sebab itu saya tiada masalah untuk membuat pertukaran pemain. Saya menantikan saat itu kerana saya tahu pemain yang dibawa masuk masih boleh memberikan impak yang sama,” kata Lorenzo.

Lima gol Colombia dalam aksi itu diperoleh menerusi Jhon Cordoba pada minit kelapan, James Rodriguez (m-15), Luis Diaz (m-41), Richard Rios (m-70) dan Miguel Borja (m-90+4).

Bekas juara edisi 2021 itu kini berpeluang untuk memperbaiki pencapaian tiga tahun lalu yang menyaksikan mereka meraih tempat ketiga jika berjaya melangkah ke pentas final kali ini.

Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana Colombia bakal berdepan Uruguay yang menewaskan Brazil 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti hari ini, untuk aksi separuh akhir, Khamis ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN