KEJADIAN kemalangan melibatkan bas terus menjadi ancaman kepada orang awam.
Apa yang lebih mengejutkan apabila kebanyakan nahas tersebut melibatkan pemandu ‘bermasalah’ dan mempunyai rekod saman trafik serta terlibat dalam pengambilan dadah.
Itu belum lagi dilihat cara pemanduan seperti memandu laju, melanggar lampu isyarat, bermain telefon bimbit, keadaan tayar botak dan sebagainya.
Apa punca keadaan ini terus berlaku? Mungkin ada mempersoalkan di mana pihak berkuasa yang perlu memastikan pemandu bas dan syarikat bas ini mematuhi peraturan dengan penguatkuasaan lebih kerap.
Timbul juga persoalan berkesankah penguatkuasaan yang dijalankan atau pun ia sekadar seperti ‘Fire Fighting’ – iaitu memadamkan api apabila berlaku kebakaran dan selepas itu diam dan tunggu kebakaran lain pula baru hendak padam.
Selain penguatkuasaan, adakah hukuman yang dikenakan ‘menggerunkan’ pemandu atau syarikat bas? Ataupun hukuman ditawarkan dipandang sinis oleh mereka yang mampu tersenyum berbanding dengan keuntungan diperoleh.
Untuk rekod, bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu termasuk dalam kejadian kemalangan maut di Jalan Genting Highlands baru-baru ini, hukuman yang boleh dikenakan adalah denda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Hukuman denda yang rendah dan bukannya penjara mandatori meskipun melakukan kesalahan berulang menyebabkan ia bagai tidak memberi kesan kepada pesalah.
Lihatlah kes kemalangan di Genting Highlands, mungkin sepatutnya apabila pemandu bas dikesan melakukan kesalahan berulang lebih 10 kali, pemandu dan syarikat terbabit perlu dikenakan hukuman penjara atau digantung operasi.
Ini tidak, ia terus dibiarkan sehingga berlakunya satu lagi nahas maut.
Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Law Teik Hua berkata, kemalangan yang berlaku akibat pemandu yang melanggar peraturan jalan raya termasuk tidak mempunyai lesen belum ada penyelesaian yang tuntas di negara ini.
Katanya, cara yang digunakan pihak berkuasa pada masa ini sudah tidak lagi sesuai selain hukuman yang tidak menggerunkan menyebabkan pesalah berani melanggar peraturan demi keuntungan.
“Kemungkinan besar cara yang kita gunakan itu tidak berapa berkesan, ia macam ‘fire fighting; macam padam api, lepas habis diam, ada masalah hari ini pergi tangkap, lepas itu diam dan tunggu satu dua tahun bila muncul balik (kes kemalangan baru lakukan lagi tindakan).
“Sebab itu kita mesti ada cara yang mampan termasuk memperkenalkan Indeks Prestasi Keselamatan (SPI) melibatkan semua syarikat bas,” katanya.
Kesimpulannya, kejadian kemalangan yang disebabkan kegagalan pemandu dan syarikat bas mematuhi peraturan jalan raya terus berlaku dan sudah sampai masanya satu transformasi dilakukan termasuk mencari kaedah penguatkuasaan yang tuntas dan hukuman lebih menggerunkan demi memastikan nyawa orang awam tidak terus terancam.
Mungkin hukuman lebih berat dengan penjara mandatori dan tindakan sita bas serta penggantungan operasi syarikat bas yang ‘gagal’ patut diaplikasikan bagi mencetuskan rasa gerun kepada pesalah.














