fbpx
BENGKEL Amazing Minds memberi peluang kepada golongan OKU menyerlahkan bakat mereka.

Bengkel khas tingkat kebolehpasaran OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SENYUMAN tidak pernah lekang daripada wajah pemuda autisme itu saat menjelaskan kepada pengunjung berkenaan makna di sebalik lukisannya.

Ternyata, pemuda bernama John Hananiah itu pintar menterjemahkan daya imaginasinya di atas kanvas, batu, beg tote dan kemeja-T.

Biarpun tidak banyak perkataan dituturkan John, namun keyakinannya terserlah apabila mendengar ramai memuji setiap karyanya.

Beberapa lukisan pemuda berusia 25 tahun itu berjaya dijual dengan hasil jualan tersebut menjadi sumber pendapatannya.

John ditemui ketika majlis graduasi pelajar Amazing Minds yang diadakan di pusat beli-belah, Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Amazing Minds ditubuhkan untuk membantu golongan orang kelainan upaya (OKU) mengembangkan lagi potensi kemandirian mereka.

Mula beroperasi pada 2022, bengkel OKU yang dikendalikan sekumpulan sukarelawan itu memiliki seramai 19 murid setakat ini.

Para pelajar terdiri daripada tujuh perempuan dan 12 lelaki dalam lingkungan usia empat hingga 25 tahun.

Mereka terdiri daripada OKU pendengaran dan OKU pembelajaran seperti autisme, sindrom Down, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) serta disleksia.

Salah satu syarat untuk menyertai bengkel tersebut adalah para pelajar haruslah memiliki kad pendaftaran OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bengkel diadakan pada setiap hari Ahad itu berlangsung mengikut tempoh pengajaran tertentu di KL Art Gallery, Desa Sri Petaling.

Ibu kepada John, Kunasundary Subrayan meluahkan rasa syukur melihat kemampuan anak bongsunya itu berhadapan dengan ramai orang.

“John memiliki masalah pertuturan sejak kecil dan sukar mengekalkan perbualan dengan orang lain dalam jangka masa panjang.

“Di sekolah pendidikan khas, pelajar-pelajar dibahagikan mengikut takrifan kurang upaya mereka, namun di Amazing Minds, mereka bergaul dengan OKU kategori lain.

“Oleh itu, bengkel ini turut membantunya menghadapi dunia luar yang memiliki masyarakat pelbagai latar belakang,” ujarnya.

Pada awalnya, John didiagnos sebagai OKU kategori lembam setelah mengalami kelewatan pertuturan atau speech delay.

Apabila John membesar, dia semakin menunjukkan ciri-ciri autisme, sebelum diagnosisnya diubah oleh doktor baru-baru ini.

John juga bekerja di sebuah pusat pembungkus makanan yang diusahakan oleh sekumpulan ibu bapa memiliki anak-anak autisme.

Menurut wanita berumur dalam lingkungan 50-an itu, pendedahan anak autisme kepada pelbagai aktiviti penting agar mereka mampu berdikari.

“Sebagai ibu bapa, kami tidak dapat menjaga John selamanya.

“Oleh itu, penting untuk dia berdikari dalam hidup.

“Dengan aktiviti sebegini, mereka dapat belajar menjana dan menyimpan wang demi masa depan mereka,” katanya

Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008, OKU termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh serta berkesan mereka dalam masyarakat.

Terdapat tujuh kategori OKU dipertimbangkan bagi pendaftaran OKU oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Para pengunjung melihat hasil seni yang berjaya dihasilkan oleh para pelajar OKU

Tujuh kategori tersebut adalah OKU pendengaran, OKU penglihatan, OKU pertuturan, OKU fizikal, OKU pembelajaran, OKU mental dan OKU pelbagai.

JKM membekalkan elaun sebanyak RM450 sebulan bagi setiap individu OKU yang menepati syarat-syarat tertentu.

Dalam pada itu, salah seorang pelajar OKU pendengaran, Khalif Malik telah dilantik untuk mengajar orang awam tentang asas bahasa isyarat.

Kelas bahasa isyarat itu merupakan inisiatif baharu oleh Amazing Minds bagi mengembangkan lagi cabang pendapatan anak muridnya.

Kelas berkenaan merangkumi pengajaran pengenalan alphabet, panggilan keluarga, pernyataan emosi secara asas serta binaan ayat ringkas.

Lelaki berusia 20 tahun itu ternyata tidak gugup langsung biarpun baru pertama kali diberikan tugasan tersebut.

Bapa kepada Khalif, Hazli Ahmad Sanusi mengakui rasa terharu melihat keupayaan anaknya menjadi pengajar kepada orang awam.

“Saya bangga melihat Khalif komited mengajar, biarpun ini kali pertama dia tampil di hadapan orang ramai sebagai tenaga pengajar.

“Sudah tentu saya lega melihat anak istimewa saya mampu memberi sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

Berkongsi tentang pengalamannya, Hazli mengakui, pada awalnya, dia sukar menerima takdir yang telah tersurat untuk anaknya itu.

Ini kerana, lelaki berusia 40 tahun itu tidak pernah berhadapan dengan ahli keluarga atau rakan yang memiliki kelainan upaya.

Namun, dia kini memahami bahawa golongan tersebut memerlukan penglibatan yang lebih inklusif dalam kalangan masyarakat.

“Majoriti masyarakat kita tidak tahu bahasa isyarat dan tidak mampu berkomunikasi dengan OKU pendengaran dan pertuturan.

“Ini menyebabkan OKU terasing, sedangkan mereka tidak memiliki sebarang masalah dari segi intelektual,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Amazing Minds, Sabrina Lim berkata, usaha penganjuran bengkel tersebut diinspirasi daripada projek kecerdasan buatan (AI) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Sejak itu, seorang ibu memiliki anak istimewa terpanggil untuk membuka bengkel seni melibatkan rakan-rakan sekolah anaknya.

Lama-kelamaan, semakin banyak penyertaan diterima oleh bengkelnya daripada pelbagai latar belakang.

“Secara asasnya, semua OKU terlibat akan diajar untuk melukis pada material berbeza dan hasilnya akan menjadi pendapatan mereka.

“Namun, pada tahun ini, kami memperkenalkan bengkel bahasa isyarat memandangkan kita memiliki dua pelajar OKU pendengaran.

“Kami merancang meluaskan lagi bengkel yang dilihat mampu membantu golongan ini menjana pendapatan,” jelasnya.

Harapan Sabrina, bengkel anjurannya mampu membantu golongan OKU mendapatkan pekerjaan di perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ujarnya, aktiviti-aktiviti yang diadakan di bengkelnya sedikit sebanyak membantu membentuk keperibadian golongan itu.

“Terdapat maklum balas positif daripada ibu bapa berkenaan perubahan anak mereka selepas menyertai bengkel kami.

“Saya berharap, perkembangan positif akan menjadi pemangkin kepada kebolehpasaran golongan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN