fbpx
MUDASSIR menunjukkan tawaran ke tingkatan enam dan IPTA yang diterimanya di Alor Setar semalam.

Sambung tingkatan 6 sambil tunggu biasiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Pelajar cemerlang, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mudassir Mirza Mirza Syahid Mahmood memilih me­nyambung pelajaran ke tingkatan enam sementara menunggu keputusan biasiswa Petronas yang dijangka diumumkan pada pertengahan Julai ini.

Mudassir, 18, berkata, selain tawaran tingkatan enam di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini, dia juga menerima tawaran me­nyambung pengajian peringkat Asasi Sains Pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Buat masa ini saya pilih untuk masuk tingkatan enam dahulu sebab nak tunggu keputusan biasiswa Petronas yang dijangka keluar pada pertengahan Julai ini.

“Dengan biasiswa tersebut saya dapat mengikuti program A-Level di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) sebelum meneruskan pengajian ke peringkat sarjana muda di luar negara,” katanya di sini baru-baru ini.

Jelasnya, dia akan terus menyambung pelajaran di tingkatan enam dalam bidang Sains sekiranya tidak berjaya mendapat biasiswa kerana tempoh pengajiannya yang lebih singkat.

“Saya akan sambung tingkatan enam dalam bidang Sains, walaupun ramai kata peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) antara yang paling susah tetapi saya akan sahut cabaran itu,” ujarnya.

Sementara itu, kakak kepada Mudassir, Nur Sharzana, 27, berkata dia berharap adiknya itu berjaya mendapat biasiswa Petronas kerana minatnya dalam bidang kejuruteraan kimia.

Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu meraikan kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 27 Mei lalu.

Seorang lagi pelajar lepasan SPM, Siti Umairah Osman berkata, dia menerima dua tawaran iaitu program asasi setahun di Kolej Matrikulasi Kedah (KMK) dan peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Saya pilih untuk sambung di matrikulasi memandangkan tempoh pengajian lebih singkat selain lokasi kolej dekat dengan rumah ibu bapa saya.

“Saya akui memang agak sukar nak buat pilihan dalam masa yang singkat sebab kedua-dua tawaran ada kelebihan masing-masing, saya harap pilihan saya ini adalah yang terbaik untuk masa depan saya,”ujarnya.

Sementara itu, bagi Mohd. Farid Zamri, 18, dia memilih untuk meneruskan persekolahan di tingkatan enam setelah gagal mendapat tempat di instititut pengajian tinggi.

Katanya lagi, walaupun ramai rakan sekelas berjaya ke universiti, dia merasakan melanjutkan pengajian ke tingkatan enam adalah keputusan terbaik.

“Saya berharap akan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan seterusnya melanjutkan pengajian ke universiti dalam kursus ijazah.

“Apa yang penting masih ada harapan untuk saya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN