fbpx
PENGGUNA sepatutnya diberi pilihan sama ada menggunakan sistem tunai ataupun cashless.

Lapor KPDN, peniaga tidak mahu terima tunai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) mengingatkan orang ramai terutama pengguna agar membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekiranya terdapat peniaga yang enggan menerima bayaran secara tunai di kedai.

Menurut BNM, wang kertas dan duit syiling yang dikeluarkan oleh pihaknya adalah sah diperlakukan dan diiktiraf oleh undang-undang sebagai alat pembayaran di negara ini.

“Walaupun Malaysia berhasrat untuk beralih kepada ekonomi tanpa tunai untuk mencapai kecekapan transaksi, penggunaan wang tunai (wang kertas dan duit syiling) tetap menjadi cara pembayaran yang penting dalam ekonomi negara

“Keputusan untuk menerima wang tunai ataupun e-pembayaran adalah keputusan komersial. BNM tidak terlibat dalam hubungan antara pelanggan dengan entiti perniagaan selagi transaksi tersebut menggunakan mata wang yang sah diperlakukan,” jelas BNM dalam kenyataan kepada Kosmo! semalam.

Ia sebagai maklum balas BNM kepada laporan khas yang di­siarkan akhbar ini mengenai rungutan orang ramai terhadap sistem tanpa tunai atau cashless di premis perniagaan.

BNM menambah, sebarang aduan kepada KPDN juga perlu disampaikan mengikut saluran rasmi.

“Orang ramai digalakkan untuk melaporkan perniagaan yang enggan menerima wang tunai kepada KPDN melalui beberapa saluran rasmi seperti e-aduan.kpdnhep.gov.my atau hubungi pusat panggilan di talian 1-800-886-800 atau menerusi email [email protected],” kata kenyataan itu.

Kosmo! menerusi muka depannya pada 24 Jun lalu melaporkan mengenai luahan orang ramai yang kurang senang de­ngan tindakan sesetengah pemilik perniagaan yang hanya membenarkan pembayaran tanpa tunai atau cashless di premis masing-masing.

Menurut pengguna, peniaga sepatutnya memberikan pilihan kepada pengguna sama ada membuat bayaran tanpa tunai dan tunai bukannya cashless semata-mata.

Apa yang mencetuskan isu adalah bagi golongan warga emas yang mana mereka lebih selesa menggunakan tunai ketika berurusan di kaunter kerana wang kertas masih mempunyai nilai.

Selain itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata, pemilik premis sepatutnya memberikan pilihan kepada pengguna atau pelanggan sama ada membuat bayaran secara tunai atau digital.

Bagaimanapun, pihak peniaga pula mengakui pembayaran tanpa tunai atau cashless menjadi pilihan mereka terutama di bandar-bandar besar dan sekitar Lembah Klang kerana kerana dianggap lebih selamat dan cepat.

Tinjauan Kosmo! mendapati, lebih 70 peratus daripada 500 premis perniagaan yang dikunjungi menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai dalam urusan jual beli mereka.

Kebanyakan premis yang menerima bayaran tanpa tunai itu adalah rangkaian restoran makanan segera, kiosk jualan, kedai alat komunikasi dan barang elektrik selain peniaga pasar malam dan pasar tani. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN