PETALING JAYA – Penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan baru-baru ini menyebabkan ada pengguna memilih untuk menjual kenderaan berenjin diesel milik mereka dan mencari kereta terpakai yang jauh lebih jimat dari segi penggunaan minyak.
Menerusi tinjauan di beberapa premis kereta terpakai di sekitar ibu kota, rata-rata pemilik kedai mengakui ramai pengguna kenderaan berenjin diesel datang untuk menjual semula kereta berenjin diesel masing-masing.
Sebagai ganti, mereka memilih untuk mencari kenderaan berenjin petrol seperti Perodua Myvi, Alza dan Axia.
Selain Perodua, kereta Proton terpakai turut mendapat sambutan antaranya Saga dan Persona yang boleh dibeli pada harga di bawah RM15,000.
Seorang pemilik menjual kenderaan terpakai di Gombak yang mahu dikenali Azroy, 40-an, berkata, pilihan untuk mencari kereta bajet bukan hanya dalam kalangan pemilik kenderaan pacuan empat roda atau pikap, malah turut melibatkan pengguna kereta sedan berenjin diesel.
Malah katanya, ramai yang datang memberi alasan yang sama iaitu terbeban dengan kenaikan harga diesel susulan pelaksanaan penyasaran subsidi yang dibuat kerajaan baru-baru ini.
“Ramai yang menggunakan kenderaan berenjin diesel sebelum ini seperti trak pikap, van dan lori kecil datang untuk ‘downgrade’ kepada kereta enjin petrol yang jimat minyak seperti Perodua Axia, Myvi, Viva dan Alza.
“Kebanyakan mereka sebelum ini menggunakan kenderaan tersebut (enjin diesel) hanya untuk kenderaan persendirian dan bukannya bagi tujuan berniaga.
“Contohnya minggu lalu, ada seorang pemilik kereta Toyota Hilux datang ke premis kami untuk ‘trade in’ dan beli Perodua Alza hanya kerana tidak mampu untuk menanggung kos kenaikan diesel,” katanya kepada Kosmo!.
Jelasnya, kereta bajet yang dijual di premisnya adalah serendah RM5,000, manakala bagi MPV (kenderaan pelbagai guna) seperti Perodua Alza pula dijual di bawah RM40,000.
Sementara itu, seorang lagi penjual kereta terpakai dikenali Ah Chai, 47, mengakui permintaan terhadap kenderaan diesel sedikit merosot, sebaliknya ramai yang memilih untuk menjual semula bagi mencari kenderaan yang menggunakan petrol.
“Antara yang paling terjejas adalah kenderaan trak pikap kerana sebelum ini ramai yang menggunakan trak pikap untuk kegunaan persendirian, namun kini beralih kepada kereta biasa.
“Bulan ini sahaja, ada tiga pelanggan yang menggunakan trak pikap dan van telah datang untuk ‘trade in’ kepada kereta dan kenderaan pelbagai guna,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pengguna trak pikap dikenali Muslimin, 48, mendakwa perbelanjaan mingguannya untuk mengisi minyak diesel telah meningkat hampir 50 peratus sejak pelaksanaan penyasaran subsidi pada 10 Jun lalu.
Susulan itu katanya, dia kini merancang untuk menjual trak pikap miliknya itu yang sebelum ini banyak digunakan untuk mengangkut barang kerana terbeban dengan kenaikan harga diesel.
“Jika sebelum ini, saya hanya belanjakan kira-kira RM400 bagi kos minyak untuk tempoh dua minggu, tetapi kini telah meningkat lebih RM700.
“Rasanya saya perlu jual trak pikap ini dan pilih kenderaan petrol yang jauh lebih murah seperti Alza untuk mengangkut barang-barang kecil,” katanya.
Bagi pengusaha pembuatan kabinet dapur dikenali Jemie, 35, pula, dia mendakwa bantuan yang diiterima sebanyak RM200 tidak mencukupi untuk menampung kos tambahan yang perlu dibayar memandangkan kenderaan diesel miliknya turut digunakan untuk urusan harian.
“Sekali isi RM150 satu tangki penuh, sekarang kena keluarkan RM240, tambahan RM90 lagi. Saya isi minyak lima atau enam hari sekali setiap bulan suntuk menghantar barang kepada pelanggan selain digunakan untuk urusan harian.
“Kalau ikut hati, saya boleh sahaja naikkan harga kabinet yang dibuat, namun saya masih ada hati dan belas kasihan untuk pelanggan sedia ada memandangkan semua orang juga terbeban,” katanya.














