MARANG – Seorang bekas penyelia projek berpuas hati apabila tindakannya berhenti kerja sejak enam tahun lalu berbaloi apabila dia kini mempunyai 43 ekor lembu yang membawa pendapatan lumayan buat dirinya sekeluarga.
Aiman Asyraf Kamarudin, 33, berkata, dia tidak menyangka lima ekor lembunya yang dibela pada permulaannya hasil modal yang disumbang ahli keluarga kini berkembang biak.
Katanya, dia terus menceburi penternakan lembu fidlot pada 2018 selepas berhenti sebagai penyelia projek di sebuah syarikat swasta di Kuantan, Pahang.
“Salah satu sebab ialah saya menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan bekalan daging lembu domestik yang ketika itu cuma 30 peratus.
“Lembu yang diternak adalah daripada baka brahman, charolais dan limousine. Haiwan itu semua diberi makan jagung, silaj, rumput segar dan pallet,” katanya ketika ditemui di Kampung Tok Fakir, Merchang di sini semalam.
Menurut Aiman Asyraf, dia menjaga pemakanan lembu untuk memastikan ternakan itu menghasilkan daging yang berkualiti tinggi.
Tambahnya, pelanggan berpuas hati dengan lembu dibekalkan dan suka dengan tekstur daging yang kurang berlemak, padat dan lebih lembut.
“Saya namakan ladang ini sebagai Aiden Cattle Farm yang kini mempunyai tiga pekerja yang membantu memberi makan lembu dan membersihkan kandang secara berkala,” katanya yang merupakan calon penternak jaya Marang.
Ujar Aiman, ladang ternakannya dipilih sebagai kandang bimbingan oleh jabatan vaterinar yang membolehkannya menerima khidmat nasihat, pemantauan perkembangan ternakan dan bantuan.
















