PETALING JAYA – Ramai peniaga kini memilih menjual makanan hanya melalui but kereta kerana takut untuk menyewa kedai yang kosnya mencecah RM2,500, malah jika jualan tidak laku, mereka menanggung kerugian besar.
Perniagaan berkonsepkan but kereta lebih mudah, dengan hanya modal ratusan ringgit, mereka boleh memulakan jualan tanpa perlu membayar gaji pekerja serta menanggung kos bekalan elektrik dan air setiap bulan.
Di Senawang, Negeri Sembilan, seorang peniaga but kereta, Nabil Hamzah, 32, berkata, bermodalkan wang yang tidak sampai RM1,000, dia sudah boleh menjual laksa utara melalui but kereta sejak sebulan lalu.
“Bagi peniaga baru seperti saya, jika mahu sewa kedai, kosnya memang tinggi, tambahan pula jika kawasan itu ramai orang atau kawasan tumpuan.
“Bagaimanapun, jika jualan tidak laku, saya terpaksa tanggung kerugian besar.
“Berniaga melalui but kereta lebih mudah dan menjimatkan. Saya juga boleh ‘berpindah-randah’ untuk mencari tempat yang lebih sesuai dan ada permintaan yang tinggi,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Bagaimanapun, Nabil memberitahu, terdapat cabaran lain juga sebagai peniaga but kereta antaranya keadaan cuaca yang kadangkala menyebabkan kerugian kepada peniaga.
“Cabaran itu memang ada terutama ketika hujan kerana pelanggan akan kurang. Jika hujan lebat, saya terpaksa mencari tempat berteduh,” ujarnya.
Di Kuala Nerus, Terengganu, seorang peniaga, Nazierah Mohd. Nazari, 35, berkata, kos sewa premis perniagaan mahal menyebabkan dia memilih untuk menjual sarapan melalui but keretanya sahaja sejak lebih sebulan lalu.
Katanya, dia mula berniaga sarapan berkonsepkan bot kereta pada 20 Mei lalu setelah diberhentikan kerja secara mengejut pada April lalu.
Dia yang mempunyai kemahiran memasak memilih untuk menjaja makanan sebagai sumber rezeki setelah kebanyakan kerja kosong yang dimohon lebih mengutamakan wanita bujang.
“Pada mulanya saya mencari premis perniagaan untuk disewa, tetapi kebanyakan mahal, yang berpatutan pula tidak begitu strategik lokasinya.
“Akhirnya saya memutuskan menjual sarapan berkonsepkan but kereta di beberapa lokasi strategik di daerah ini dan bandar raya Kuala Terengganu,” katanya.
Nazierah berkata, dia menjual nasi lemak, nasi minyak dan sandwich pada harga antara RM1.50 hingga RM3.50 setiap bungkus.
“Saya jual pada harga murah tanpa mengurangkan kuantiti dan kualiti memandangkan kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelajar sekolah.
“Lagi pun, berniaga di but kereta menyebabkan kos operasi saya tidak terlalu tinggi kerana tidak perlu sewa premis dan upah ramai pekerja. Saya hanya perlu membuka meja dan payung di belakang kereta,” ujarnya.
Tambahnya, setiap hari dia dibantu abang iparnya berniaga seawal pukul 6 pagi dan kebiasaannya semua makanan habis dijual sebelum pukul 8 pagi.
“Saya memasang kain pemidang, ‘Sarapan Pagi Bergerak’ untuk menarik perhatian pelanggan selain kerap membuat promosi di media sosial,” ujarnya.
Di Shah Alam, Selangor, seorang penjual kuih bakar, Umi Kalthum Abdul Rahman, 54, memberitahu, dia berniaga melalui but kereta berhampiran Medan Selera Seksyen 2 dengan sasaran pelanggan terutama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berdekatan.
Menurutnya, dengan konsep perniagaan seperti itu, dia boleh berniaga pada bila-bila masa sahaja tanpa perlu menyewa kedai, malah sambutan yang diterima memberangsangkan.
“Konsep ini semakin diaplikasikan dalam kalangan belia mahupun peniaga-peniaga kecil selepas pandemik Covid-19 lalu.
“Hasil pendapatan yang diterima boleh membantu sara hidup setiap bulan bersama suami yang merupakan orang kelainan upaya yang hanya bergantung kepada pencen ilat,” katanya.














